Artikel

BAM Lantik Kembali Individu Yang Menaikkan Kien Keat-Boon Heong, Beregu No.1 Dunia Masa Lalu

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan mendapatkan kembali khidmat individu yang berperanan menaikkan pasangan beregu Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong sehingga menjadi beregu nombor 1 dunia suatu masa lalu.

Individu tersebut adalah bekas pemain badminton Indonesia, Rexy Mainaky yang pernah menjadi jurulatih beregu negara dari tahun 2005 hingga 2012. Bagaimanapun, kedatangan beliau pada kali ini diberikan peranan sebagai Timbalan Pengarah Kejurulatihan BAM.

Ini juga bermakna Rexy akan bekerjasama dengan rapat bersama Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Han.

Perkembangan positif dalam arena badminton negara ini disampaikan oleh BAM menerusi satu makluman rasmi, semalam.

Selain itu, BAM menerusi presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria turut memaklumkan Rexy yang merupakan pakar dalam permainan beregu turut diberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) khas dalam memantapkan lagi skuad beregu kebangsaan dengan segera.

Pastinya ia akan memberikan manfaat tambahan kepada pasangan beregu negara yang semakin mencipta nama di pentas antarabangsa terutamanya Aaron Chia-Soh Woi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin yang kini dilatih dengan cukup baik oleh Flandi Limpele – juga merupakan seorang jurulatih dari Indonesia.

Sebagai tambahan, Rexy masih mempunyai kontrak bersama Persatuan Badminton Thailand pada masa ini. Namun, BAM memaklumkan jurulatih berusia 53 tahun ini akan melaporkan diri di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada 1 Disember 2021.

Featured Image: BWF

komen