Written by 4:41 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Cheng Hoe Pantau Pemain Harimau Muda Untuk Dipanggil Ke Skuad Senior Pada Masa Akan Datang

Persembahan pemain-pemain skuad Harimau Muda di pentas Kelayakan Piala Asia Bawah 23 Tahun (B-23) dipantau rapat oleh ketua jurulatih skuad senior kebangsaan, Tan Cheng Hoe pada ketika ini.

Menurut laporan portal Utusan Malaysia, Cheng Hoe berbuat demikian bagi mengenalpasti pemain muda yang beraksi dengan untuk dipanggil untuk menggalas cabaran skuad senior dalam saingan Piala AFF 2020 serta tugasan antarabangsa pada masa hadapan.

Isnin lalu, skuad Harimau Muda bimbingan Brad Maloney memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-23 dengan langkah kanan apabila berjaya menumpaskan Laos dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Azfar Fikri yang dibantu oleh Quentin Cheng pada babak kedua.

Rating Sukanz: Kemasukan Quentin Cheng Bantu Malaysia B-22 Raih Kemenangan Ke Atas Laos

Mukhairi Ajmal (kiri) dan Quentin Cheng (kanan)

“Kita akan pantau pemain-pemain skuad B-22, selain empat pemain yang dipanggil bersama pasukan senior sebelum ini. Lagi ramai pemain lagi bagus untuk masa depan negara.

“Kalau lagi banyak pemain muda menonjol dan menunjukkan aksi terbaik ia akan membawa kebaikan kepada pasukan negara, jika tidak dipanggil pada (Piala) AFF nanti mungkin pada masa akan datang.

“Kita sentiasa memantau perkembangan pemain dan harap mereka yang dipanggil sebelum ini atau tidak bersama pasukan (pada awal Oktober) menunjukkan prestasi terbaik serta bebas kecederaan,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.

Ketika ini, skuad B-22 negara ini turut dikuatkan dengan beberapa pemain muda yang telah menembusi skuad senior seperti Luqman Hakim, Hakimi Abdullah, Mukhairi Ajmal dan Quentin Cheng.

Namun pemantauan Cheng Hoe terhadap skuad ini akan ditumpukan juga kepada pemain-pemain muda yang lain agar dapat memperbesarkan lagi kolam pemain (pool of players) skuad Harimau Malaya.

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 2,283 times, 2 visits today)
Close