Written by 4:53 pm Gaya Sukanz, Lain-Lain

PUMA Hijab Labuh & Selesa Dilancarkan di Malaysia Dengan Harga RM89

Jenama sukan global PUMA telah secara rasminya melancarkan PUMA Hijab baharunya di Malaysia, sekaligus menunjukkan komitmen PUMA dalam memenuhi keperluan semua lapisan masyarakat.

Produk ini merupakan hijab sukan pertama keluaran PUMA, dengan rekaan tempatan khusus untuk membantu wanita berhijab bergerak dengan lebih bebas dan selesa sepanjang hari, terutamanya semasa menjalani rejim kecergasan dan senaman mereka.

Dilancarkan sebagai sebahagian daripada kempen #FlexHijabku oleh PUMA, PUMA Hijab ini diperbuat daripada fabrik berkualiti tinggi yang ringan dengan pengudaraan yang baik untuk menawarkan fleksibiliti dan versatil.

Selain itu, produk ini juga direka dengan teliti bukan sahaja untuk kegunaan di trek, padang, gelanggang mahupun gim, malah pakaian harian yang bergaya dan selesa.

PUMA Hijab disertakan dengan bukaan kecil untuk membolehkan penggunaan fon telinga.

“Memandangkan masyarakat kini sudah mula kembali ke dunia luar secara beransur-ansur selepas sekatan pergerakan, menggayakan pakaian yang tepat mampu memberikan perbezaan ketara dalam menjalani semula aktiviti harian.

“Justeru itu, PUMA Hijab direka selari dengan idea tersebut, iaitu menawarkan hijab sukan yang versatil bukan hanya sesuai untuk aktiviti sukan dan kecergasan, tetapi juga sebagai pelengkap kepada pakaian kasual harian,” kata Eleanor Wang, Ketua Pemasaran PUMA Asia Tenggara. 

“PUMA Hijab boleh didapati di kedai Al-Ikhsan, yang juga merupakan pengedar eksklusif PUMA Hijab di Malaysia. Dengan keluaran hijab tersebut, kami berharap rakyat Malaysia bersemangat untuk menangani perubahan tempo dalam norma baharu ini,” ujarnya lagi.

PUMA Hijab saiz S (kiri) dan saiz M (kanan).

Ukuran panjang PUMA Hijab direka melepasi bahagian dada untuk labuh yang mencukupi dan selesa – antara ciri yang tidak dimiliki oleh kebanyakan hijab sukan lain.

Tambahan lagi, hijab ini juga direka khas dengan bukaan kecil pada kedua-dua belah supaya penggunaan fon telinga adalah ergonomik dan lebih mudah.

PUMA Hijab hadir dalam warna hitam, dengan saiz S dan M. Sebagai produk edaran eksklusif Al-Ikhsan Sports, hijab ini kini boleh didapati di semua kedai Al-Ikhsan Sports dan di al-ikhsan.com pada harga RM89 sahaja.

(Visited 127 times, 1 visits today)
Close