Written by 1:34 pm Asia, Bola Sepak, Malaysia

Rating Sukanz: Gol Tunggal Azfar ‘Kaka’ Fikri Berikan Malaysia Kemenangan Kedua Kelayakan Piala Asia B-23

Skuad Malaysia Bawah 22 Tahun (B-22) berhasil merekodkan kemenangan kedua dalam Kelayakan Piala Asia B-23 setelah menundukkan pasukan tuan rumah, Mongolia pada hari ini.

Kemenangan penting ini hasil daripada jaringan tunggal Azfar Fikri atau dikenali sebagai Kaka pada minit ke-40. Jaringan tersebut tercipta daripada ‘assist’ yang dilakukan oleh pertahanan, Hairiey Hakim.

Untuk makluman semua, ini juga merupakan gol kedua peribadi di peringkat kelayakan oleh pemain kelahiran Kuala Lumpur ini. Sementara itu, kemenangan ini bermakna Malaysia kekal selaku pendahulu Kumpulan J sebelum turun ke perlawanan ketiga menentang Thailand kelak.

Berikut adalah rating pemain-pemain skuad Harimau Muda ketika menentang Mongolia sebentar tadi:

GK: Azri Ghani – 6/10

Melakukan tugas untuk mempertahankan gawangnya dengan baik dan memastikan Malaysia tidak bolos dalam perlawanan ini. Bagaimanapun, satu ‘kesilapan kurang cermat’ dilakukannya iaitu mengutip bola di luar kotak menyebabkan dia dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

DF: Zikri Khalili – 6/10

Beraksi dengan baik namun ada ketikanya gandingannya bersama dua bek yang lain dalam sistem bek bertiga sedikit kucar-kacir dan membuka peluang pemain lawan untuk mengambil peluang menjaringkan gol.

DF: Harith Haiqal – 6/10

Beraksi dengan baik sebagai ‘ball playing defender’ namun sepertiman Zikri, gandingannya bersama dua bek yang lain ada ketikanya kurang kemas dalam perlawanan ini.

DF: Azrin Afiq – 6/10

Melakukan tugas bertahan dengan baik atas kapasiti individu namun ada ketikanya gandingannya bersama Zikri dan Harith menampakkan sedikit ‘kelam kabut’.

MF: Quentin Cheng – 7/10

Bermula sebagai pemain kesebelasan utama dan beraksi dengan sangat baik. Quentin banyak terlibat tidak kira ketika pasukan menyerang dengan melakukan ‘overlapping’ mahupun bertahan. Sebanyak 2-3 kali Quentin dilihat hadir menyelamatkan barisan pertahanan yang kucar-kacir apabila diserang Mongolia. Dia keluar pada minit ke-72 digantikan oleh Azam Azmi.

MF: Nik Akif Syahiran – 6/10

Masih dipertaruhkan sebagai ‘core player’ di bahagian tengah bersama-sama kapten, Mukhairi Ajmal. Persembahannya semakin baik berbanding perlawanan pertama lalu namun ada beberapa hantarannya boleh diperbaiki lagi bagi mengelakkan dipintas pemain lawan.

MF: Mukhairi Ajmal (K) – 7/10

Boleh dikatakan cemerlang mengawal bahagian tengah sambil dibantu oleh Nik Akif. Ada beberapa hantaran jauh dan lorongan yang baik dilakukannya. Mukhairi juga mendapat peluang melaukan dua percubaan yang hampir-hampir mampu diterjemahkan kepada jaringan.

MF: Hairiey Hakim – 7.5/10

Beraksi sebagai wing back di sebelah kiri dan memberikan sokongan yang baik semasa menyerang mahupun bertahan. Tandukan Hairiey menghasilkan ‘assist’ buat Azfar untuk menjaringkan gol tunggal perlawanan sekaligus memberikan kemenangan buat Malaysia. Dikeluarkan pada minit ke-72 dan digantikan oleh Umar Hakeem.

ST: Azfar Fikri – 7.5/10

Beraksi sebagai penyerang di bahagian sayap. Di saat pemain-pemain lawan banyak memberikan tumpuan kepada Luqman, Azfar hadir menjaringkan gol pada minit ke-40. Ianya merupakan gol kedua peribadi Azfar dalam pusingan kelayakan ini. Dia dikeluarkan pada minit ke-60 digantikan dengan Syafik Ismail.

ST: Luqman Hakim – 6.5/10

Sentiasa dikawal kemas oleh pertahanan lawan dan menyebabkannya sukar untuk mencari ruang bagi memburu jaringan. Namun gerakannya menyebabkan pemain-pemain lawan bertumpu kepada Luqman dan memberikan Azfar ruang untuk bergerak bebas. Luqman dikeluarkan pada minit ke-89 kerana mengalami kecederaan.

ST: Hakimi Abdullah – 5/10

Perlawanan pada hari ini memperlihatkan penglibatan Hakimi di atas padang sedikit kurang. Pada masa yang sama, Hakimi juga tidak begitu mendapat suapan daripada rakan sepasukan serta dilihat kurang terlibat ketika pasukan bertahan. Sayang sekali, peluang satu lawan satu berhadapan penjaga gol lawan pada masa kecederaan tidak dapat disempurnakannya.

Pemain Gantian

ST: Syafik Ismail – 5/10

Diarahkan masuk oleh Brad Maloney pada minit ke-60 menggantikan Azfar Fikri. Ada beberapa gerakan dan gelecekan berhasil dilakukannya menerpa kotak penalti lawan namun tiada sebarang jaringan atau ‘assist’ dijelmakannya. 

MF: Azam Azmi Murad – 4/10

Dimasukkan pada minit ke-72 menggantikan Quentin Cheng selaku wing back kanan. Azam meneruskan tugas-tugas dilakukan oleh Quentin dengan baik sehingga tamat perlawanan.  

MF: Umar Hakeem – 4/10

Dimasukkan pada minit ke-72 menggantikan Hairiey Hakim di posisi wing back kiri. Umar meneruskan tugas Hairiey mengekang pemain lawan menyerang menerusi bahagiannya dan turut membantu pasukan ketika menyerang.

ST: Aiman Afif – N/A

Dimasukkan pada minit ke-89 menggantikan Luqman Hakim yang mengalami kecederaan. Tidak banyak yang disumbangkannya sehingga tamat perlawanan.

Featured Image: FAM

(Visited 277 times, 1 visits today)
Close