Written by 12:06 pm Badminton, Malaysia

Ranking BWF: 6 Pasangan Beregu Wanita Perbaiki Kedudukan Dunia

Seramai enam pasangan beregu wanita badminton negara dilihat memperbaiki kedudukan ranking dunia masing-masing selepas kemaskini dilakukan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Berdasarkan pemerhatian, gandingan Go Pei Kee dan Yap Ling mencatatkan kenaikan paling banyak bagi kategori ini dalam kalangan pemain Malaysia. Pasangan yang mara sehingga ke Pusingan 2 dalam Cabaran Antarabangsa Belgium ini menempatkan diri di kedudukan ke- 312 dunia.

Sementara itu, Lee Meng Yean dan Yap Cheng Wen merekodkan kenaikan kedua tertinggi. Pasangan yang baru sahaja digandingkan ini berhasil melonjak 152 anak tangga selepas masuk ke kelompok 16 akhir Terbuka Perancis, minggu lalu. Ketika ini, Meng Yean-Cheng Wen menghuni tangga ke-171 dunia.

Seterusnya, kenaikan ketiga terbanyak pula diraih oleh gandingan Teoh Mei Xing-Anna Cheong. Hasil daripada lolos ke peringkat suku akhir Cabaran Antarabangsa Belgium, dengan mencatatkan kenaikan 137 anak tangga, mereka kini menduduki tangga ke-231 dunia.

Tidak dilupakan, pasangan pemain bebas (independent players), Vivian Hoo-Lim Chiew Sien juga mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan walaupun sekadar bermain di Pusingan 1 Terbuka Perancis. Mereka berjaya menduduki tangga ke-189 dunia selepas merekodkan kenaikan 77 anak tangga.

Pasangan kembar muda, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin tidak ketinggalan merekodkan kenaikan yang positif. Hasil daripada mara ke peringkat kelompok 32 (selepas menang dua perlawanan di peringkat kelayakan), Su Hui-Su Yin yang berumur 18 tahun masing-masing ini mencatatkan kenaikan sebanyak 16 anak tangga sekaligus membolehkan mereka menduduki tangga ke-207 dunia.

Akhir sekali, gandingan beregu utama wanita negara, Pearly Tan dan M. Thinaah pula menempatkan diri di kedudukan ke-18 dunia, naik satu anak tangga berbanding minggu lalu. Kedudukan ini merupakan yang terbaik pernah dicapai oleh Pearly dan Thinaah sejak digandingkan bersama dalam karier mereka.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

(Visited 154 times, 1 visits today)
Close