Written by 6:37 pm Bola Sepak, Malaysia

Tuah Iringi Sarawak United Ke Suku Akhir Piala Malaysia – E. Elavarasan

Selain daripada Kuala Lumpur City (KL City) yang mengesahkan kemaraan ke peringkat suku akhir, naib juara Liga Premier iaitu Sarawak United yang berada dalam Kumpulan A turut meneruskan kemaraan ke peringkat yang sama.

Sarawak United berjaya mara selepas berhasil mengejutkan Sri Pahang dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, semalam.

Bagaimanapun, ketua jurulatihnya, E.Elavarasan, merendah diri dengan kejayaan itu dan menyifatkan tuah berpihak kepada pasukannya untuk membawa pulang tiga mata berharga.

Coach Elavarasan

“Dari awal lagi Sri Pahang bermain lebih baik malah mereka berjaya mengejutkan kami dengan gol awal tetapi mujur kami dapat menyamakan kedudukan melalui Sandro.

“Gol penyamaan itu memberikan motivasi kepada pemain biarpun secara keseluruhan permainan dikuasai sepenuhnya oleh Sri Pahang.

“Mungkin apabila selepas kedudukan 1-1 dan kita juga dalam situasi tidak mahu kalah kerana situasi itu akan berikan kelebihan kepada tuan rumah jika menang, maka kita lebih banyak bertahan.

“Saya boleh katakan kami bernasib baik kerana dapat menjaringkan gol selepas 40 minit bertahan di separuh kedua dan melalui satu sahaja serangan balas, kami mendapatkan satu kemenangan penting,” katanya.

Kemaraan Sarawak United dan KL City menjadikan Sri Pahang dan Penang tersingkir dari saingan Piala Malaysia. Kedua-dua pasukan tersebut sudah tidak mampu lagi memintas Sarawak United dan KL City pada hari terakhir perlawanan peringkat kumpulan, Rabu ini.

Sementara itu, jika KL City berjaya mempertahankan kedudukan mereka di tangga teratas Kumpulan A selepas aksi keenam peringkat kumpulan, mereka dijadualkan akan bertemu Selangor yang sudah mengesahkan slot menerusi naib juara Kumpulan B manakala Sarawak United bertemu juara Kumpulan B, Terengganu FC di suku akhir.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 33 times, 1 visits today)
Close