Written by 1:11 pm Bola Sepak, Malaysia

Piala AFF 2020: Irfan Zakaria Berehat Panjang, Pertahanan Tengah Manakah Akan Dipanggil Cheng Hoe?

Skuad bola sepak kebangsaan Malaysia terpaksa melupakan khidmat seorang pertahanan tengah, Irfan Zakaria pada kejohanan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan berlangsung bermula awal Disember kelak.

Hal ini kerana pertahanan Kuala Lumpur City (KL City) yang berusia 26 tahun itu ditimpa kecederaan semasa beraksi bersama pasukannya menentang Penang dalam saingan Piala Malaysia, Ahad lepas.

Menurut perkongsian oleh wartawan Astro Arena, Syakirah Zulkifly memaklumkan Irfan mengalami kecederaan putus urat di bahagian buku lalinya dan terpaksa berehat selama tiga bulan. Turut dimaklumkan, Irfan akan menjalani pembedahan pada hari esok.

Kehilangan khidmat Irfan pastinya akan membuatkan peminat tertanya-tanya siapakah pertahanan tengah yang akan dipanggil oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk mengharungi kejohanan dwitahunan itu kelak.

Sepanjang tahun ini, antara pertahanan tengah yang pernah dipanggil oleh Cheng Hoe ialah Aidil Zafuan, Adam Nor Azlin, Dominic Tan, Junior Eldstal dan Dion Cools.

Sementara itu, Shahrul Saad yang pernah dipanggil pada Mac lalu sebelum mengalami kecederaan pada pertengahan musim telah pulih dan diturunkan oleh kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) baru-baru ini juga boleh diketengahkan.

Sharul Nazeem atau dikenali sebagai Afro

Tidak dilupakan nama-nama pertahanan yang menyinar dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini seperti Sharul Nazeem dan Shahrul Nizam boleh disertakan sekali. Dua nama ini telah dipanggil oleh Cheng Hoe namun tidak dapat menyertai skuad kebangsaan disebabkan masalah kecederaan dan salah faham.

Bagaimana pula dengan pendapat anda? Siapakah pertahanan yang boleh dipanggil untuk beraksi pada kejohanan Piala AFF 2020 yang akan bermula pada 5 Disember kelak?

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 280 times, 1 visits today)
Close