Written by 11:15 am Bola Sepak, Malaysia

Tiada Kelibat K. Rajagobal di Pentas Piala AFF Suzuki 2020

Kelibat pengendali skuad kebangsaan Brunei Darussalam, Datuk K. Rajagobal tidak akan kelihatan di kejohanan Piala AFF 2020 yang akan berlangsung di Singapura pada bulan hadapan.

Hal ini kerana Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (NFABD) telah memaklumkan kepada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) menarik diri daripada beraksi di pusingan kelayakan menentang Timor Leste pada 1 Disember kelak.

Menurut laman sesawang rasmi AFF, Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin Pengiran Haji Matasan memaklumkan Brunei berbuat demikian kerana mengalami kesukaran untuk membuat persiapan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda.

Sehubungan itu, penarikan diri oleh Brunei ini membolehkan Timor Leste mara ke pusingan akhir Piala AFF 2020 dengan melengkapkan Kumpulan A secara automatik.

Kini, Kumpulan A terdiri daripada Thailand, Myanmar, Filipina, Singapura dan Timor Leste. Sementara itu, Kumpulan B pula diisi oleh Vietnam, Malaysia, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Untuk makluman semua, Rajagobal atau dikenali sebagai ‘King Gobal’ merupakan ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia bermula tahun 2009 sehingga 2013.

Rajagobal mencipta rekod sebagai satu-satunya ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia yang berjaya membimbing skuad Harimau Malaya menjulang trofi Piala AFF setakat ini apabila berjaya mengalahkan Indonesia pada perlawanan akhir pada edisi 2010.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 102 times, 1 visits today)
Close