Written by 5:09 pm Malaysia, Sukan Para

KBS Putuskan Tiada Ganjaran RM1 Juta Buat Atlet Lontar Peluru Para Ziyad Zolkefli

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan tiada ganjaran berupa wang tunai RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) akan diberikan kepada atlet lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli.

Menurut laporan oleh portal Bernama, keputusan tersebut dibuat ekoran pembatalan penyertaan Ziyad kerana lewat masuk ke bilik panggilan (call room) biarpun mencatatkan rekod lontaran paling jauh – 17.94 meter – semasa mengambil bahagian.

Pada masa yang sama, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan keputusan itu dibuat bukan sebagai hukuman kepada atlet tersebut yang terlepas peluang meraih pingat emas bagi kategori F20 (kecacatan intelektual) di temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Ogos lalu.

Ahmad Faizal Azumu

“KBS memutuskan tiada ganjaran yang akan diberikan kepada Muhammad Ziyad menerusi SHAKAM.

“Namun saya akan berhubung dan berbincang dengan Muhammad Ziyad tentang ganjaran yang tidak ada kena mengena dengan peruntukan kewangan kerajaan,” katanya dipetik daripada portal terbabit.

Dalam laporan yang sama, Faizal turut mendedahkan beberapa pihak telah menawarkan sedia memberikan ganjaran kepada atlet berusia 31 tahun terbabit sebagai penghargaan kepada pengorbanan dan usahanya di temasya itu.

Bagaimanapun, individu atau syarikat serta bentuk dan jumlah ganjaran yang akan diberikan kepada Ziyad itu tidak didedahkan secara terperinci oleh Faizal.

Untuk makluman semua, keputusan oleh KBS ini dibuat setelah sebuah jawatankuasa siasatan dalaman yang dilantik untuk merungkai isu ini merumuskan Ziyad dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu yang ditetapkan di bilik panggilan.

Featured Image: Majlis Sukan Negara

(Visited 260 times, 1 visits today)
Close