Written by 4:04 pm Bola Sepak, Malaysia

Mengapa Guilherme De Paula Tak ‘Jogging’ Ketika Bermain Bersama JDT? Ini Jawapan TMJ

Persembahan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula bersama skuad kebangsaan sebelum ini seringkali mendapat kritikan oleh para peminat dan penyokong bola sepak tempatan.

Antara kritikan yang dilontarkan adalah gaya permainan De Paula yang bersahaja dan seringkali dilihat berlari-lari anak atau ‘jogging’ ketika bermain bersama skuad Harimau Malaya.

Bagaimanapun, lain pula persembahan penyerang kelahiran Brazil bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika beraksi dalam kancah bola sepak domestik.

Menerusi satu komen yang ditinggalkan di Instagram, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merangkap Tunku Mahkota Johor (TMJ) memberikan penjelasan mengenai perbezaan gaya permainan yang ditampilkan oleh De Paula itu.  

“Kenapa di JDT De Paula tak jogging tetapi dia kerap membuat high pressing? Kerana di JDT jikalau dia berlari sambil lewa dia berenang di kolam buaya. Simple.” tulis TMJ yang juga merupakan pemilik JDT.

Tangkap layar komen yang ditinggalkan TMJ di Instagram

Semalam, penyerang berusia 35 tahun itu beraksi dengan baik ketika diturunkan menentang Kelantan dalam aksi keenam peringkat Kumpulan D dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu. 

De Paula bukan sahaja dilihat melakukan ‘pressing’ terhadap pemain-pemain lawan bahkan turut menyumbang satu gol buat skuad Harimau Selatan.

Gol tersebut hadir pada separuh masa kedua apabila satu hantaran lintang rendah daripada bek kanan iaitu S. Kunanlan berjaya disumbat masuk oleh De Paula dalam kotak penalti.

Jaringan tersebut memberikan JDT mendahului 3-0 di waktu itu sebelum pertahanan tengah, Shahrul Saad menambah satu lagi gol sekitar minit ke-80.

Permainan tamat dengan JDT merekodkan kemenangan 4-0 serta muncul juara Kumpulan D dengan mengumpul 18 mata secara keseluruhan.

Anda boleh menonton sorotan perlawanan serta jaringan oleh Guilherme de Paula pada pautan di bawah:

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 55,372 times, 1 visits today)
Close