Written by 7:27 pm Bola Sepak, Malaysia

Nafuzi Zain Jurulatih Yang Tidak Malas & Selalu Bertanya, Puji Irfan Bakti

Prestasi Nafuzi Zain selaku ketua jurulatih Terengganu FC sejak pertengahan 2019 sehingga kini menjadi kebanggaan dan diberikan pujian oleh bekas bosnya, Irfan Bakti Abu Salim. 

Irfan yang kini merupakan ketua jurulatih Kuching City FC menyatakan pasukan Terengganu bimbingan Nafuzi pada ketika boleh diletakkan hampir sebaris dengan juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Persembahan semasa pula memperlihatkan Nafuzi berhasil mengemudi Terengganu mendapatkan tiket ke peringkat suku akhir Piala Malaysia dengan lebih awal pada musim ini. 

Berdasarkan kepada prestasi tersebut, Irfan meramalkan skuad Hitam Putih itu tidak mempunyai masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir.

Baca: Irfan Bakti Berpandangan Nafuzi Perlu Kekal Bimbing Terengganu Tahun 2022

“Sudah tentu saya berbangga apatah lagi Terengganu sekarang sudah menjadi salah satu pasukan elit di negara kita yang kita boleh katakan hampir menyamai JDT (Johor Darul Ta’zim).

“Sekarang mereka dah layak ke suku akhir, jadi saya rasa tiada masalah mereka nak ke separuh akhir pula dan saya berbangga dengan apa yang dilakukan oleh Nafuzi selepas tiga tahun pernah menjadi pembantu saya. 

“Bagi saya, dia merupakan jurulatih muda yang tidak malas dan selalu bertanya kalau ada masalah, dan malam ini kami bertemu buat kali kedua, sudah pasti ia akan menjadi pertembungan menarik”, jelasnya.

Sebagai tambahan, peluang buat Terengganu untuk mara ke pentas akhir Piala Malaysia pada tahun ini bukanlah sesuatu yang mustahil menurut jurulatih berusia 70 tahun ini.

Untuk makluman semua, Irfan sendiri yang merupakan ketua jurulatih skuad berpangkalan di pantai timur ini pada musim 2010-2011 serta 2017-2019 pernah mengemudi Terengganu ke pentas akhir Piala Malaysia sebanyak dua kali.

Kali pertama dilakukannya pada tahun 2011 menentang Negeri Sembilan dan kali kedua pula diulanginya pada tahun 2018 menentang Perak.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 93 times, 1 visits today)
Close