Written by 5:24 pm Bola Sepak, Malaysia

Bojan Anggap KL City ‘Underdog’ Manakala Selangor Punyai Kelebihan Pasukan Simpanan 

Walaupun mengemudi Kuala Lumpur City (KL City) muncul juara Kumpulan A dalam saingan Piala Malaysia, ketua jurulatihnya, Bojan Hodak tetap menganggap pasukannya sebagai bukan pilihan atau ‘underdog’.

Sebaliknya, jurulatih kelahiran Croatia melihat lawan yang akan ditentangnya pada peringkat suku akhir iaitu Selangor yang dilatih oleh Karsten Neitzel memiliki kelebihan disebabkan adanya pasukan Selangor II.

Pada masa yang sama, Bojan turut meramalkan perlawanan suku akhir pertama pada Ahad ini akan berlangsung dengan sengit berdasarkan rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan tidak berpihak kepada sesiapa pada tahun ini.

“Kami bukan pasukan pilihan untuk menang dengan Selangor biarpun ramai melihat prestasi KL City cukup baik setakat ini di saingan Piala Malaysia.

“Selangor ada kelebihan dari segi pilihan pemain kerana mempunyai reserve team berbanding dengan KL City yang punyai sebuah skuad yang kecil.

“Berdasarkan rekod pertemuan KL City dan Selangor sepanjang musim ini termasuk satu perlawanan persahabatan, ketiga-tiganya berakhir keputusan seri.

“Jadi ini bermakna sudah pasti perlawanan akan sengit membabitkan kedua-dua pasukan pada pentas suku akhir dan sesiapa boleh memenangi perlawanan itu nanti, ” katanya.

Sebagai rekod, KL City muncul juara Kumpulan A hasil daripada 4 kemenangan dan 2 seri. Skuad ibu kota ini menutup saingan Kumpulan A dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Sri Pahang.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 838 times, 1 visits today)
Close