Written by 2:57 pm Bola Sepak, Malaysia

Kontrak Brad Maloney Tamat Hujung Tahun, FAM Belum Bincang

Kontrak ketua jurulatih skuad kebangsaan bawah 22 tahun (B-22), Brad Maloney akan tamat pada penghujung tahun ini.

Bagaimanapun, menurut laporan Sinar Harian, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum melakukan perbincangan untuk melanjutkan kontrak jurulatih yang berjaya membimbing skuad Harimau Muda ke kejohanan Piala Asia B-23, pada tahun hadapan.

Hal ini kerana pihak FAM belum dapat bertemu dengan jurulatih kelahiran Australia terbabit kerana masih berada dalam tempoh kuarantin selepas pulang beraksi dalam pusingan kelayakan di Mongolia, baru-baru ini.

“Berkenaan kontrak (Brad) Maloney, kita masih tak dapat jumpa sebab masih dalam kuarantin,” kata Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar seperti dipetik daripada portal akhbar berkenaan.

Saifuddin Abu Bakar

Skuad bimbingan Brad meraih tiket ke pusingan akhir dengan meraih dua kemenangan ke atas Laos dan Mongolia serta satu seri bertemu Thiland sekaligus muncul juara Kumpulan J.

Untuk makluman semua, ini merupakan kali kedua Malaysia berjaya layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23. Ketika Malaysia layak buat pertama kali pada tahun 2018, Brad merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Datuk Ong Kim Swee pada waktu itu.

Sebelum ini, Brad pernah diberikan peranan selaku ketua jurulatih bagi skuad bawah 19 tahun (B-19). Ketika membimbing skuad tersebut, Brad membimbing barisan pemain muda negara dengan cemerlang dan mara pusingan akhir Piala Asia B-19.

Bagaimanapun, rezeki tidak memihak dirinya dan para pemain muda untuk beraksi di pentas tersebut kerana pandemik Covid-19 yang melanda pada tahun 2020 menyebabkan kejohanan tersebut dibatalkan. 

Featured Image: Football Association of Malaysia

(Visited 134 times, 1 visits today)
Close