Written by 12:52 pm Badminton, Malaysia • 2 Comments

Lee Zii Jia Disarankan Tarik Diri Salah Satu Kejohanan Di Indonesia

Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia disarankan untuk menarik diri salah satu daripada tiga kejohanan yang akan berlangsung di Indonesia dalam tempoh 3 minggu mendatang.

Zii Jia yang menamatkan saingan Terbuka HYLO selaku naib juara pada minggu lalu dijadualkan menyertai kejohanan Indonesia Masters Jelajah Dunia Super 750 (16-21 November) dan Terbuka Indonesia Jelajah Dunia Super 1000 (23-28 November).

Sementara itu, pemain berusia 23 tahun ini sedang menghuni tangga pertama ranking Jelajah Dunia BWF hampir layak untuk beraksi dalam Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF yang turut dilangsungkan di Indonesia bermula 1 hingga 5 Disember nanti.

Mengulas mengenai tiga kejohanan yang akan disertai oleh Zii Jia dalam tempoh tiga minggu berturut-turut itu, menurut laporan Berita Harian, legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek berpandangan agar pemain kelahiran Kedah ini menarik diri salah satu daripada kejohanan yang dinyatakan di atas.

“Zii Jia perlu bincang dengan pengurusan BAM (Persatuan Badminton Malaysia). Tidak boleh sertai ketiga-tiga kejohanan di Indonesia itu kerana dia juga perlu rehat yang secukupnya.

“Kalau dia tetap beraksi dalam ketiga-tiga kejohanan itu, harapan orang pada dia tinggi dan itu juga boleh beri kesan kepada mental dia sekiranya dia gagal menghasilkan keputusan yang baik,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar tersebut.

Rashid Sidek bersama Cheah Liek Hou

Pada masa yang sama, Rashid yang kini merupakan jurulatih kepada pemain badminton para negara turut menasihatkan Zii Jia agar bijak memilih kejohanan yang mahu disertai.

Beraksi dalam banyak kejohanan secara terus-menerus boleh mendedahkan dia kepada kecederaan dan perkara tersebut boleh mempengaruhi kariernya pada masa akan datang.

“Ia juga akan beri kesan kepada jangka hayat kerjayanya, memang dia masih muda tetapi itu tidak bermakna dia boleh terus-menerus menyertai kejohanan.

“Kita mahu lihat jangka hayat kerjayanya berpanjangan, tetapi sekiranya sering mengalami kecederaan, ia mungkin boleh memendekkan tempoh kerjayanya. 

“Apabila sekali sudah alami kecederaan, ia pasti akan datang balik,” tambahnya lagi.

Bercakap mengenai kecederaan, ketika beraksi pada perlawanan akhir Terbuka HYLO pada minggu lalu, Zii Jia terpaksa menarik diri pada set penentuan kerana mengalami kecederaan belakang. 

Featured Image: Badminton Photo & Majlis Sukan Negara

(Visited 20,535 times, 1 visits today)
Close