Written by 5:21 pm Badminton, Malaysia

Jelajah Dunia Akhir BWF: Aaron-Wooi Yik Perlukan 2 Kali ‘Quarter-Finalist’ di Indonesia Untuk Layak

Beregu utama lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik perlu menempatkan diri mereka sekurang-kurangnya selaku ‘quarter-finalist’ dalam dua kejohanan badminton yang berlangsung di Indonesia, bulan ini.

Dua kejohanan tersebut ialah Indonesia Masters (Jelajah Dunia Super 750) dan Terbuka Indonesia (Jelajah Dunia Super 1000) yang dijadualkan berlangsung pada 16-21 November dan 23-28 November masing-masing.

Hal ini perlu dicapai oleh mereka sekiranya mahu layak ke kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF yang akan berlangsung di Bali pada awal Disember nanti.

Ketika ini, gandingan Aaron-Wooi Yik berada di kedudukan ke-14 dengan mengumpul 17,400 mata dalam ranking ‘Road to Bali Finals’. Untuk layak, mereka perlu menempatkan diri dalam kalangan 8 beregu terbaik secara keseluruhan.

Tangkap layar kedudukan semasa ranking ‘Road to Bali Finals’

“Peluang masih ada tetapi kami tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Sudah pasti kami akan mempamerkan prestasi terbaik kami untuk menghasilkan keputusan yang positif dalam kedua-dua kejohanan itu.

“Kami perlu sekurang-kurangnya mara sehingga suku akhir tetapi sekiranya dapat mara lebih daripada itu adalah lebih baik,” kata Aaron seperti dipetik daripada portal akhbar Berita Harian.

Untuk makluman semua, kemaraan Aaron-Wooi Yik ke peringkat suku akhir Indonesia Masters akan memberikan mereka sebanyak 6,050 mata. Manakala, dalam saingan Terbuka Indonesia pula, sebanyak 6,600 mata akan diraih bagi kemaraan ke peringkat yang sama.

Jumlah 12,650 mata tersebut akan menjadikan mereka memiliki 30,500 secara keseluruhan dan mencerahkan peluang mereka untuk layak menyertai kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2021.

Featured Image: Badminton Photo

(Visited 310 times, 1 visits today)
Close