Artikel

KBS Lancar MySukan TV – Platform Siaran Langsung Kejohanan MSSM & Liga Universiti

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil inisiatif melancarkan sebuah platform media yang bernama MySukan TV bagi menyokong sukan-sukan yang kurang popular serta kejohanan di peringkat akar umbi di seluruh Malaysia, pada hari ini.

Di Malaysia, tumpuan orang ramai dan pihak media seringkali diberikan kepada acara, kejohanan dan sukan yang popular sahaja. Hal ini menyebabkan sukan-sukan lain serta kejohanan di peringkat rendah tidak mendapat tumpuan sekaligus mengurangkan publisiti dan populariti mereka.

Keadaan ini mengecilkan peluang mereka untuk menjana pendapatan menerusi pengiklanan mahupun tajaan yang boleh membantu mereka untuk terus terlibat di dalam sukan-sukan tersebut atau menganjurkan kejohanan tersebut.

Oleh demikian, KBS mengambil inisiatif dengan memberikan mandat kepada Impact Integrated untuk mewujudkan sebuah jenama media, MySukan TV yang boleh berperanan menyokong sukan akar umbi untuk mencapai kelestarian.

“MySukan TV adalah jenama media yang berfungsi untuk menyokong landskap sukan akar umbi di Malaysia menerusi aktiviti promosi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya dan siaran langsung perlawanan sukan untuk menarik minat pelaburan atau tajaan daripada syarikat swasta.

“Fokus utama MySukan TV adalah untuk bekerjasama dengan penggiat sukan akar umbi bagi menarik minat pelabur swasta sekaligus menjana pendapatan melalui penyiaran acara dan perlawanan secara langsung menerusi platform MySukan TV.” ucap Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu dalam majlis pelancaran secara virtual tadi.

Antara sukan yang kurang popular yang akan diberikan penumpuan adalah seperti bola jaring, boling padang, BMX, papan selaju, perlumbaan dron, angkat berat, memanah dan sebagainya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Integrated, Ahmed Faris Amir turut memberikan contoh antara acara yang akan disiarkan secara langsung di laman web dan platform media sosial MySukan TV adalah kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dan Liga Bola Sepak Universiti.

Selain daripada menjadi platform untuk menyiarkan acara dan kejohanan secara langsung, MySukan TV juga akan menyampaikan informasi dan berita semasa kejohanan di peringkat akar umbi.

komen