Written by 11:49 am Bola Sepak, Malaysia

Kelab Komuniti Kerteh FC Tambah Satu Lagi ‘Income Stream’ Dengan Jual Beras Import

Kelab bola sepak komuniti yang berpangkalan di Terengganu iaitu Kelab Bola Sepak Kerteh (Kerteh FC) melakukan pelbagai inisiatif dan jalinan kerjasama untuk menjana pendapatan bagi memastikan kelangsungan kelab.

Menerusi cabang perniagaan makanan dan minuman mereka iaitu Kerteh FC F&B, mereka telah mengeluarkan beberapa produk seperti maruku, kambing perap, bahulu dan cocoa spread untuk dijual.

Selain itu, Kerteh FC turut mengadakan kerjasama dan kolaborasi dengan pelbagai syarikat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) seperti Gadis Baker, Kalislab, Kerepek Ralit dan Warung Pok Nong untuk mendapatkan keuntungan bersama menerusi produk yang dijual.

Pengerusi Kerteh FC, Razeman Mat Nashim

Terbaru, kelab yang beraksi dalam saingan divisyen empat (Liga M4) bola sepak tanah air ini mengumumkan satu lagi kerjasama baharu bersama syarikat IKS, Yacob Tahir Enterprise untuk menjual Beras Premium Super Import Cap Buah-Buahan.

“Sebelum ini pasaran Beras Cap Buah-Buahan kami hanyalah tertumpu di daerah Setiu, Besut, Bachok dan Pasir Putih sahaja. 

“Dengan kerjasama bersama Kerteh FC ini, ianya dapat menambahkan lagi keyakinan kami bahawa kerjasama ini akan membawa jenama beras kami ke pasaran yang lebih luas capaiannya selepas ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Yacob Tahir Enterprise Sdn Bhd, Mohamad Adam Suffian Yacob.

Baca: Kerteh FC Ambil Iktibar & Pengajaran Daripada Pasukan-Pasukan Yang Terkubur

Sementara itu, Pengerusi Kerteh FC, Mohd Razeman Mat Nashim menyatakan pemasaran melalui medium sukan bola sepak menjadi satu trend baharu kepada IKS di dalam negara pada masa kini. 

Beliau mengharapkan kerjasama bersama Yacob Tahir Enterprise ini akan dapat dipertingkatkan lagi pada masa hadapan. Ini kerana syarikat ini bukan sahaja hanya mengeluarkan beras tetapi ada juga beberapa produk barangan asas yang lain seperti minyak masak, telur, garam dan lain-lain lagi.

Bermula hari ini, peminat The Oilers dan penduduk Kerteh boleh merasai keenakan Beras Super Premium Cap Buah Buahan di kedai-kedai runcit terpilih sekitar Kerteh, Kemasik dan akan berkembang lebih luas lagi selepas ini di daerah Kemaman dan Dungun.

Berikut adalah produk makanan dan minuman yang dihasilkan sendiri serta kolaborasi antara Kerteh FC dan pelbagai syarikat IKS yang dijual di laman e-dagang, Shopee untuk menambahkan pendapatan kelab: 

Maruku
Kambing Perap
Cocoa Spread
Bahulu
Energy Bar dibuat oleh Gadis Baker
Antara kerepek yang dihasilkan oleh Kerepek Ralit
Sambal Keto keluaran Kalislab
Tepun dan Sos Pencicah Pok Nong
(Visited 281 times, 1 visits today)
Close