Written by 7:17 pm Antarabangsa, Badminton

Indonesia Masters: Pilihan Ke-5, Anthony Ginting Dikejutkan Pemain Thailand Pada Pusingan 1

Satu kejutan berlaku dalam Indonesia Masters 2021 apabila pemain perseorangan lelaki yang diletakkan sebagai pilihan kelima untuk memenangi kejohanan ini, Anthony Sinisuka Ginting tewas pada Pusingan 1.

Pemain berusia 25 tahun yang merupakan kelahiran Indonesia itu terpaksa melupakan kejuaraan kejohanan ini apabila ditewaskan oleh pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada petang tadi.

Kunlavut yang menghuni tangga ke-23 dunia ini menumpaskan Anthony yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan skor 19-21, 21-14 dan 21-13 dalam masa 66 minit. 

“Jikalau saya dapat mengulang semula perlawanan tadi, saya akan cuba bermain dengan lebih sabar. Bukan mudah nak dapatkan mata dalam perlawanan ini. Kunlavut meraih mata hasil daripada kesilapan saya.” kata Anthony selepas perlawanan seperti dipetik daripada laman sesawang BWF.

Berdasarkan rekod, ini merupakan pertemuan yang kedua melibatkan Anthony dan Kunlavut. Pertemuan pertama dalam kejohanan Terbuka Thailand pada Januari lalu memihak kepada Anthony dengan kemenangan secara ‘straight set’.

Kemenangan Kunlavut ke atas Anthony membolehkannya meneruskan kemaraan ke Pusingan 2 Indonesia Masters. Menantinya di pusingan tersebut samada pemain Indonesia, Shesar Rhustavito atau pemain India, Bhamidipati S. Praneeth.

Featured Image: BWF

(Visited 243 times, 1 visits today)
Close