Written by 8:22 pm Lain-Lain

KBS Salur RM100,000 Baik Pulih Garaj Latihan Atlet Angkat Berat Filipina

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal menyalurkan dana sebanyak RM100,000 untuk membaik pulih garaj yang menjadi tempat latihan dan persediaan atlet angkat berat wanita Filipina yang memenangi pingat emas Olimpik 2020, Hidilyn Diaz di Kampung Kesang Tua, Jasin, Melaka.

Menurut laporan Utusan Malaysia, KBS menerusi menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peruntukan tersebut disalurkan bagi membaik pulih garaj tersebut dan menambah fasiliti peralatan sedia ada.

Baca: Atlet Angkat Berat Negara Dapat ‘Tunjuk Ajar’ Pemenang Emas Olimpik, Hidilyn Diaz

“Diaz dan jurulatihnya, Julius Naranjo dari Guam menyatakan kesediaan untuk terus berada di sini (Kesang Tua) bagi melatih atlet remaja di sekitar daerah ini.

“Memandangkan golo­ngan remaja meminati acara angkat berat kenapa tidak kita baik pulih fasiliti ini dan membesarkan garaj bagi membolehkan mereka menjalani latihan dengan selesa.

“Saya lihat sukan ini mendidik golongan remaja menjadi lebih berdisiplin dan fokus. Kita akan bantu untuk menjadikan tempat ini bagi melahirkan ramai atlet mengikut contoh Diaz,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar tersebut.

Selain itu, Azumu turut memaklumkan bahawa KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan berbincang untuk meningkatkan lagi garaj tersebut bagi dijadikan tempat latihan yang lebih sempurna memandangkan ianya telah menarik golongan remaja setempat yang mula meminati sukan angkat berat.

Tambahnya lagi, pihaknya akan berbincang dengan pemilik garaj dan kediaman tersebut merangkap Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah untuk menyewa tempat ini bagi tempoh jangka masa panjang.

Featured Image: Instagram Hidilyn Diaz

(Visited 125 times, 1 visits today)
Close