Written by 6:29 pm Bola Sepak, Malaysia

KPT Tubuh Persatuan Bola Sepak Universiti Malaysia (MUFA)

Dalam satu majlis yang dilangsungkan pada hari ini, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melancarkan penubuhan sebuah badan induk bola sepak iaitu Persatuan Bola Sepak Universiti Malaysia (MUFA).

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff yang berucap semasa majlis pelancaran berkata, KPT merupakan satu hub yang besar dalam melahirkan pemain bola sepak berkebolehan di negara ini.

Sebagai contoh, Liga Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang bermula pada tahun 2010 muncul sebagai liga kedua terbesar selepas saingan yang dianjurkan oleh Malaysian Football League (MFL). Liga ini turut melahirkan nama-nama besar bola sepak negara seperti Amiridzwan Taj, Bunyamin Omar, Mahali Jasuli dan K. Reuben.

Dr. Zabri

“Seiring dengan itu, tadbir urus pengurusan bola sepak di universiti perlu diperkasakan. Ini dapat dilaksanakan melalui usaha menubuhkan persatuan bola sepak yang diiktiraf.

“Langkah ini penting bagi memastikan setiap aktiviti bola sepak di IPT dapat dilaksanakan dengan lebih teratur termasuklah dari aspek yang melibatkan kontrak pemain, kepengadilan, sistem pertandingan dan sebagainya.” katanya di dalam majlis yang turut disiarkan secara dalam talian menerusi Facebook Kementerian Pengajian Tinggi, pagi tadi.

Difahamkan, langkah menubuhkan MUFA mula digerakkan sejak tahun 2020 dan pada bulan Ogos 2021 yang lalu, MUFA telah berjaya didaftarkan.

“Pendaftaran ini membuka satu lembaran sejarah baharu sukan bola sepak khususnya di IPT. MUFA akan bernaung di bawah badan induk bola sepak negara iaitu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan rentetan itu juga semua pasukan atau kelab bola sepak IPT akan bernaung di bawah MUFA.” tambahnya lagi.

Antara pemain yang akan beraksi di Pra-U Cup 2021

Dalam majlis yang sama, Dr. Zabri turut melancarkan sebuah kejohanan bola sepak yang dinamakan sebagai Pra-U Cup 2021. Ianya bakal dilangsungkan bermula 20 hingga 28 November bertempat di Akademi Mokhtar Dahari (AMD) Gambang, Pahang. 

Kejohanan edisi sulung ini akan disertai oleh lima buah pasukan iaitu AMD A, AMD B, Akademi Bola Sepak Felda, Akademi Bola Sepak Terengganu dan Malaysian University Football Team (MUFT).

“Penganjuran kejohanan Pra-U Cup 2021 ini merupakan satu detik permulaan untuk KPT dalam memperkasakan keupayaan pemain di peringkat belia dengan beraksi dalam satu kejohanan yang kompetitif.

“Kejohanan ini akan memberikan satu ruang yang luas kepada pemain-pemain belia yang berada di akademi bola sepak terpilih di negara ini dan juga di sekolah-sekolah sukan untuk memperagakan bakat mereka sebelum layak bermain di peringkat yang lebih tinggi.” jelasnya.

Di dalam ucapannya, Dr. Zabri sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli akademik dan pengulas bola sepak, Dr. Pekan Ramli yang tidak kering idea untuk memastikan program-program baharu terus dilaksanakan. 

Featured Image: Kementerian Pengajian Tinggi

(Visited 1,425 times, 1 visits today)
Close