Written by 12:28 pm Lain-Lain

Syarikat Pemaju Hartanah Mahu Beri RM1 Juta Kepada Pemenang Emas Olimpik 2024

Syarikat pemaju dan pelaburan hartanah, BT Bina Group mahu memberikan wang tunai sebanyak RM1 juta kepada mana-mana atlet yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 kelak.

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri David Tan berkata ganjaran tersebut sebagai sebagai pembakar semangat buat atlet-atlet negara yang akan bersaing di temasya tersebut 3 tahun lagi.

“Saya dan semua rakyat Malaysia masih menanti pingat emas Olimpik pertama negara. Oleh itu, saya bersedia untuk memberi wang tunai berjumlah RM1 juta kepada pemenang pingat emas di Olimpik Paris 2024.

“Dengan ganjaran ini, saya harap ia mampu menyemarakkan lagi semangat atlet-atlet negara memburu pingat di Olimpik Paris nanti.

BT Bina Group ketika menyampaikan ganjaran kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik, Oktober lalu.

“Usaha itu perlu bermula dari sekarang. Saya percaya peluang untuk atlet negara meraih emas di Paris 2024 ada, tetapi paling penting mereka perlu sangat berdisiplin dan berusaha keras, selain mendapat lebih banyak pendedahan di kejohanan antarabangsa,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.

Selain daripada tawaran daripada syarikat ini, pemenang pingat emas di temasya Sukan Olimpik turut dijanjikan wang tunai berjumlah RM1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).

Ini menjadikan mana-mana atlet yang membawa pulang pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024 kelak akan menerima wang tunai sekurang-kurangnya RM2 juta.

Bulan Oktober lalu, BT Bina Group turut memberikan ganjaran kepada pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020, Cheah Liek Hou yang memenangi acara badminton perseorangan lelaki kategori SU5.

Liek Hou dan jurulatihnya, Datuk Rashid Sidek diberikan sebuah kondominium berharga RM800,000 setiap seorang yang bertempat di Grand Maris Suites, Bangsar.

(Visited 74 times, 1 visits today)
Close