Written by 5:40 am Bola Sepak, Malaysia

Padang Stadium Sultan Mizan Boleh Bantu JDT – Benjamin Mora

Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora menjangkakan perlawanan menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada separuh akhir pertama Piala Malaysia akan menjadi perlawanan yang sukar buat pasukannya.

Hal ini bukan sahaja disebabkan oleh skuad bimbingan Nafuzi Zain itu akan mendapat sokongan moral tambahan dengan bermain di hadapan penyokong sendiri. Bahkan, Terengganu sendiri merupakan sebuah pasukan yang berbahaya di hadapan gawang dengan rekod jaringan sebanyak 22 gol sepanjang kempen Piala Malaysia setakat ini.

Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Mexico itu melihat keadaan padang stadium berkenaan yang boleh dikatakan sebagai antara yang terbaik di dalam negara dapat membantu skuad Harimau Selatan memainkan gaya bola sepak yang diingini mereka pada perlawanan yang akan berlangsung pada Isnin nanti.

Makan Konate dan Bergson ketika bertemu dalam saingan Liga Super 2021

“Aksi separuh akhir semestinya akan menjadi satu perlawanan yang sukar, kita semua tahu Terengganu sebuah pasukan baik tambahan sentiasa menjaringkan gol.

“Bermain di Terengganu selalu sukar cuma keadaan padang di sana mungkin boleh membantu untuk kami bermain cara bola sepak yang diinginkan.

“Namun semua tahu mereka juga mahu menang, begitu juga dengan kami dan sudah pasti kedua-dua pasukan akan berikan yang terbaik dalam perlawanan ini,” katanya.

Terdahulu, skuad bimbingan Mora merangkap juara bertahan berhasil mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Kedah Darul Aman dengan aggregat 1-0 hasil jaringan pemain muda, Arif Aiman Hanapi pada perlawanan timbal balik suku akhir di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Khamis lalu. 

Sebagai rekod, pertemuan antara JDT dan Terengganu dalam saingan Liga Super musim ini seimbang. Kedua-dua pasukan berhasil mencatatkan kemenangan 1-0 di laman lawan ketika berentap sesama sendiri pada bulan April dan September lalu.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 12,706 times, 1 visits today)
Close