Written by 6:41 pm Bola Sepak, Malaysia

Bekas Jurulatih Felda United, Nidzam Jamil Diserap Masuk Dalam Barisan Kejurulatihan Selangor

Selepas mengumumkan perlantikan Michael Feichtenbeiner serta Karsten Neitzel selaku ketua dan penolong jurulatih Selangor bagi musim 2022, skuad Red Giants mengumumkan menyerap seorang lagi individu ke dalam barisan kejurulatihannya.

Menerusi satu makluman rasmi kelab pada hari ini, Selangor mengumumkan menandatangani bekas ketua jurulatih Felda United merangkap bekas pemainnya, Nidzam Jamil sebagai seorang lagi penolong ketua jurulatih pasukan.

“Kami berbesar hati mengalu-alukan kepulangan Nidzam, yang menghabiskan sebahagian besar karier bola sepak profesionalnya bersama Selangor, sebagai sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan, di mana kami percaya dia boleh  maju dan terus berkembang.

“Selain itu, kelab percaya pengalaman dan kredibiliti beliau akan membuatkan beliau menjadi ahli penting yang boleh membimbing kami memperoleh kejayaan masa depan.” tulis kenyataan kelab.

Baca: Karsten Diturunkan Pangkat Menjadi Penolong Ketua Jurulatih Selangor

Untuk makluman semua, Nidzam melakukan penampilan sulung bersama Selangor pada 26 Mac 2000 menentang Kuala Lumpur. Dia sempat beraksi bersama Selangor selama empat tahun sebelum berpindah ke Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sebagai tambahan, Nidzam, 41 tahun, memulakan karier kejurulatihannya bersama SPA FC bermula tahun 2010 sebelum mengembangkannya ke pasukan AirAsia FC, pasukan bola sepak universiti negara dan akhir sekali, Felda United sebagai penolong dan ketua jurulatih.

Featured Image: Malaysian Football League

(Visited 5,160 times, 1 visits today)
Close