Written by 10:58 am Badminton, Malaysia

Seng Zoe, Wei Chong-Kai Wun Menangi Terbuka Ireland 2021

Kejohanan Terbuka Ireland 2021 menyaksikan seorangan pemain perseorangan lelaki dan sepasang beregu lelaki Malaysia beraksi cemerlang untuk menjuarai kategori masing-masing, semalam.

Yeoh Seng Zoe, 24 tahun, yang merupakan pemain bebas (independent) menjuarai kategori perseorangan lelaki selepas menundukkan pemain Denmark, Mads Christophersen secara ‘straight set’ 21-18 dan 21-14 pada perlawanan akhir.

Sebelum itu, pemain yang menduduki ranking ke-148 dunia ini mara ke perlawanan akhir dengan menumpaskan Soong Joo Ven (Malaysia), Chirag Sen (India), Kim Bruun (Denmark), Mithun Manjunath (India).

Untuk makluman semua, ini merupakan kejuaraan antarabangsa sulung yang diraihnya selepas menyertai tiga kejohanan sebelum ini.

Sementara itu, pasangan beregu negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pula berjaya meraih kemenangan dalam kategori beregu lelaki selepas mengalahkan beregu England, Rory Easton dan Zach Russ juga secara ‘straight set’ 21-7 dan 21-17 pada perlawanan akhir.

Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-93 dunia ini mara ke pentas final dengan mengetepikan Avinash Gupta-Brandon Zhi Hao (England), Matthew Clare-Ethan Van Leeuwen (England), Jaromir Janacek-Tomas Svejda (Republik Czech) dan Emil Lauritzen-Mads Vestergaard (Denmark).

Kemenangan mereka dalam kejohanan ini menjadikan mereka telah meraih tiga kejuaraan pada tahun ini dengan dua daripadanya adalah juara Iberdola Spanish International dan Terbuka Poland.

(Visited 1,796 times, 1 visits today)
Close