Artikel

Empat Kategori Tiket Final Piala Malaysia Diumumkan – Paling Mahal Berharga RM150

Penganjur saingan bola sepak tempatan, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia, pada hari ini.

Menerusi makluman rasmi MFL, empat kategori harga tiket final bakal dibuka untuk pembelian bermula pukul 12 tengah hari pada 27 November (Sabtu) menerusi platform Ticket Hotline.

Empat harga yang ditetapkan adalah bermula RM50 dan RM70 bagi general admission. Manakala, baki dua kategori lagi adalah berharga RM80 (premium general admission) dan RM150 (premium grandstand).

Secara keseluruhan, sebanyak 20,000 keping tiket akan dijual kelak.

“MFL telah menetapkan harga tiket bagi perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2021 adalah sama seperti harga tiket pada 2019. 

“Meskipun MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini dan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket yang agak terhad.

“Buat masa ini, sejumlah 20,000 tiket akan dijual mengikut kapasiti penonton yang dibenarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) tetapi MFL telah mengemukakan permohonan kepada MKN agar jumlah itu dapat ditambah.” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam.

Untuk makluman semua, perlawanan akhir Piala Malaysia akan dilangsungkan pada 30 November, hari Selasa bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil.

komen