Written by 2:12 pm Badminton, Malaysia

Ranking BWF: Aaron-Wooi Yik Terus Catat Peningkatan, Kini Di Tangga Ke-6 Dunia

Pasangan beregu badminton lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik terus mencatatkan peningkatan dalam kedudukan ranking dunia yang dikemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), pada hari ini.

Hasil kejayaan mara ke peringkat separuh akhir kejohanan Indonesia Masters pada minggu lalu, ia membolehkan Aaron-Wooi Yik menduduki tangga ke-6 dunia mengatasi pasangan Indonesia, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto.

Untuk makluman semua, ia merupakan ranking tertinggi pernah diraih oleh pasangan yang turut memenangi pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 ini.

Sepasang lagi beregu negara yang turut mara ke peringkat yang sama iaitu Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi mencatatkan peningkatan sebanyak dua anak tangga sekaligus meletakkan mereka di tangga ke-12 dalam kedudukan ranking dunia.

Sementara itu, beregu Man Wei Chong dan Tee Kai Wun yang muncul juara kejohanan Terbuka Ireland turut meraih peningkatan yang ketara dalam kemaskini terbaru ranking pada hari ini.

Pasangan ini mencatatkan lonjakan sebanyak 16 anak tangga sekaligus meletakkan mereka di kedudukan ke-77 dunia – kedudukan terbaik pernah diraih dalam karier dua pasangan muda ini.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

(Visited 9,461 times, 1 visits today)
Close