Written by 3:53 pm Bola Sepak, Malaysia

Kedah Lantik Tokoh Kewangan, Dr. Mohd Daud Bakar Sebagai Penaung Kelab

Naib juara Liga Super 2021, Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (Kedah) mengumumkan melantik tokoh dan pakar kewangan islam, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar sebagai penaung (patron) kelab. 

Pengumuman perlantikan itu dibuat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor merangkap Menteri Besar Kedah menerusi satu sidang media yang diadakan pada hari ini.

“Saya yakin dengan penglibatan tokoh sebesar Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar akan mampu menjadi penyuntik stamina baharu kepada KDA FC dan industri bola sepak di negara ini.

“Penglibatan Tan Sri secara langsung bersama KDA FC diyakini akan dapat membantu usaha-usaha untuk mewujudkan jaringan pintar KDA FC dengan semua pemegang taruh termasuk seluruh warga Kedah Darul Aman.

“Dengan pengalaman dan reputasi yang dimiliki oleh Tan Sri, saya yakin beliau mampu dan mempunyai keupayaan yang lebih daripada mencukupi untuk membantu kelab dalam aspek pengurusan dan hal-hal yang berkaitan demi kemajuan dan kelestarian bola sepak di negeri Kedah Darul Aman.

“Ini penting bagi memenuhi aspirasi Kedah yang mahu mewujudkan pasukan yang lebih mantap untuk mencipta pelbagai kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa dalam industri bola sepak (yang merupakan) sukan teras di negara kita dan juga sukan utama di Kedah.” kata Sanusi dalam sidang media yang turut disiarkan secara dalam talian oleh laman sosial kelab.

Sungguhpun Dr. Mohd Daud merupakan individu yang banyak terlibat dalam bidang korporat, kewangan dan pendidikan, perkembangan mengenai pasukan Kedah turut diikutinya secara rapat sepertimana yang kerap dikongsikannya menerusi laman sosialnya.

Untuk makluman semua, sebelum dilantik secara rasmi sebagai penaung kelab, Dr. Mohd Daud telah melakukan persiapan awal termasuk melakukan lawatan ke gelanggang rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Stadium Sultan Ibrahim (SSI) yang serba canggih untuk belajar serta melihatnya dengan lebih dekat.

Sebagai tambahan, Dr. Mohd Daud merupakan anak jati negeri Kedah yang lahir di Simpang Kuala, Alor Setar dan kini berusia 57 tahun. Beliau merupakan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Selain dua jawatan yang dinyatakan di atas, Dr. Mohd Daud banyak terlibat sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Syariah di beberapa institusi kewangan dalam dan luar negara seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti (SC), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan, Astana International Financial Centre (AIFC) dan First Abu Dhabi Bank, UAE.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

(Visited 7,514 times, 4 visits today)
Close