Artikel

TFC, MFL Dikompaun RM10,000 Kerana Penyokong Duduk Rapat & Tak Pakai ‘Mask’ Dengan Sempurna

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengumumkan mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 terhadap Kelab Bola Sepak Terengganu (TFC) dan Malaysian Football League (MFL) masing-masing.

Menurut kenyataan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Hjh Kasemani Embong, kompaun tersebut dikeluarkan ekoran TFC selaku tuan rumah dan MFL sebagai penganjur gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong melibatkan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna.

Ketidakpatuhan terhadap protokol tersebut dilakukan semasa berlangsungnya perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) pada hari Isnin lalu.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menasihatkan, “setiap individu dikehendaki memainkan peranan dalam memastikan diri masing-masing tidak menjangkiti orang lain.

“Ia adalah penting bagi mencegah berlakunya penularan jangkitan Covid-19 seperti dalam kalangan ahli keluarga, komuniti dan tempat kerja.”

Untuk makluman semua, kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Kenyataan penuh oleh Pengarah Kesihatan Negeri adalah seperti lampiran di bawah:

Featured Image: Terengganu FC

komen