Written by 5:05 pm Bola Sepak, Malaysia

10 Perlawanan 10 Gol, Farizal Minta Rakan Sepasukan Berhati-Hati Dengan Romel Morales

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias memberi amaran kepada rakan-sepasukannya agar berhati-hati dengan penyerang Kuala Lumpur City (KL City), Romel Morales.

Pemain kelahiran Colombia yang berusia 24 tahun ini merupakan pemain tengah menyerang namun dek masalah kecederaan yang menimpa penyerang utama, ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak meletakkan Romel beraksi sebagai penyerang.

Pada awalnya, Romel bergelut untuk menjalankan peranan itu namun di pentas Piala Malaysia, Romel tampil sebagai penyerang yang cukup berbisa. Setakat ini, dia meledak 10 gol daripada 10 perlawanan sekaligus memimpin carta penjaring terbanyak kejohanan.  

Baca: Beri Pasport Kepada Pemain Muda Seperti Romel Morales Bukannya Penyerang Usia 30-an

Farizal Marlias

“Kami juga kena berhati-hati dengan penyerang KL City, Romel Morales, yang begitu bahaya dalam kotak penalti selain mempunyai fizikal yang kuat,” ujar Farizal dalam sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia, hari ini.

Pada masa yang sama, Farizal turut mengingatkan rakan-rakannya agar berhati-hati dalam aspek serangan balas dan situasi bola mati pasukan yang dibimbing oleh jurulatih kelahiran Croatia itu.

“Sudah pasti Kuala Lumpur cukup berdisiplin dalam bertahan selain berbahaya pada serangan pantas di samping tidak boleh memberikan peluang kepada lawan dalam situasi bola mati kerana pada perlawanan lalu, kami ada melepaskan satu gol kepada mereka.” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, pertemuan terakhir melibatkan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super yang lalu dimenangi oleh skuad Harimau Selatan dengan keputusan 2-1.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada September lalu, JDT mencatatkan kemenangan hasil jaringan Nazmi Faiz dan gol sendiri oleh Nik Shahrul Azim. Manakal, KL City pula meraih gol saguhati menerusi Izreen Izwandy.

Featured Image: Kuala Lumpur City

(Visited 1,109 times, 1 visits today)
Close