Written by 4:18 pm Bola Sepak, Malaysia

Hampir 24 Tahun Main Bola, Shukor Mahu Gantung But Selepas Lawan JDT

Selepas hampir suku abad bermain bola, final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada malam esok akan menjadi perlawanan terakhir buat pemain senior Kuala Lumpur City (KL City), Shukor Adan.

Pertahanan berusia 42 itu mengumumkan rancangan persaraannya daripada bola sepak profesional ketika sidang media praperlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada hari ini.

“Dalam umur saya 42 tahun, saya tak sangka pula akan ke final, terima kasih kepada Coach Bojan, walaupun saya kurang minit permainan (di pentas Piala Malaysia), atas kepercayaan Coach Bojan saya berada dalam skuad.”

“Benda ni bukan satu perkara yang mudah, kalau Kuala Lumpur (dengan izin Allah) ditakdirkan memenangi Piala Malaysia esok, saya ingin umumkan persaraan saya.”

“Sebenarnya, ini merupakan tahun terakhir saya sebagai pemain bola sepak, jadi (ini) merupakan satu pencapaian dalam karier saya beraksi di pentas final walaupun tidak bermain sekalipun, saya (tetap) berasa bangga.” katanya.

Shukor Adan

Beliau tidak menafikan ia merupakan perkara yang menyedihkan untuk menggantung but terutamanya telah berkecimpung sebagai di dalam dunia bola sepak hampir selama 24 tahun.

Namun, ini menjadi momen terbaik buatnya untuk mengumumkan menggantung but dan menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.

Untuk makluman semua, sepanjang hampir 24 tahun tersebut, Shukor telah menyarung jersi Negeri Sembilan, Selangor, Angkatan Tentera Malaysaia (ATM), Felda United dan Melaka sebelum menyertai skuad Ibu Kota.

Sebagai rekod, Shukor telah menjulang trofi Piala Malaysia sebanyak 4 kali sebelum ini ketika memenanginya bersama Selangor dan Negeri Sembilan sebanyak dua kali masing-masing.

Difahamkan, Shukor yang juga merupakan bekas kapten skuad Harimau Malaya suatu masa dahulu telah dilamar sebagai penolong ketua jurulatih KL City pada musim hadapan. 

Featured Image: KLFA

(Visited 13,979 times, 1 visits today)
Close