Artikel

11 Pemain Import, 2 Pasukan Baharu Meriahkan NSL 2023

Saingan musim ketiga bola jaring tempatan anjuran Persatuan Bola Jaring Malaysia (PJBM) dan Astro iaitu Netball Super League (NSL) 2023 akan menemui peminatnya di Stadium Juara, Bukit Kiara bermula 13 Oktober hingga 5 November kelak.

Saingan selama empat minggu nanti menyaksikan ianya akan ditandingi sebanyak lapan buah pasukan iaitu Johor Jewels, KL Wildcats, Selangor Angels, Perak Pheonix, Negeri Sembilan Venom, Pahang Tulips termasuk dua pasukan baharu Terengganu Marvel dan Putrajaya Dynamites yang menggantikan Melaka Mystic dan Kedah Sunshine yang tersingkir.

Menariknya, saingan musim ini akan diserikan dengan kehadiran lebih ramai pemain import iaitu seramai 11 orang secara keseluruhannya berbanding dua orang sahaja pada musim lalu oleh Johor Jewels.

Antara pasukan yang menambat khidmat pemain import pada musim ini ialah KL Wildcats (Nassanga Shadiah Ssgujja, Nalwanja Shaffie), Johor Jewels (Adri Sheila Jean Kannemeyer, Gayani Samanthika Kumari Dissanayake), Putrajaya Dynamites (Fatin Nurdiyana, Samantha Katheleen Burrows), Terengganu Marvels (Arirak Ampharat, Sirima Sannaree), Perak Pheonix (Kadondi Falidah, Namulumba Christine Kango) dan Negeri Sembilan Venom (Nurul Ajeerah).

Hanya Pahang Tulips dan Selangor Angels sahaja yang tidak menggunakan khidmat pemain import dan mempertaruhkan 100% pemain tempatan.

Dalam majlis pelancaran NSL 2023 semalam, penganjur turut memperkenalkan barisan-barisan penaja yang terdiri daripada Elite (penaja pakaian rasmi NSL), Tudong DNA (tudung rasmi), Figos (penaja bola rasmi), Sinar Harian (rakan media rasmi) dan Era (radio rasmi).

Sementara itu, Nicholas John yang merupakan Ketua Bahagian Sukan Astro memaklumkan buat julung kalinya saingan NSL ini akan menembusi pasaran global apabila perlawanan-perlawanan terpilih akan disiarkan di W-Sport (saluran 815) – saluran yang memfokuskan pada kandungan sukan wanita dan disiarkan di 30 negara – dalam ulasan bahasa Inggeris.

Pada masa yang sama, Astro juga mengambil inisiatif untuk mengadakan Klinik NSL yang akan dikendalikan oleh pemain-pemain NSL yang juga pemain kebangsaan di sekolah-sekolah terpilih bagi memberi peluang dan pengalaman berharga buat pelajar-pelajar mempelajari asas-asas sukan bola jaring dari peringkat akar umbi.

Selain itu, menerusi Astro Rewards – program kesetiaan pelanggan Astro – menawarkan lebih dari 900 tiket percuma sepanjang NSL berlangsung. Bagi yang ingin merebut tawaran ini, boleh menyertai peraduan di aplikasi My Astro.

Manakala para peminat yang ingin membeli tiket, anda boleh mula membuat pembelian di www.tickethotline.com.my pada 9 Oktober kelak.

Jadual penuh saingan NSL 2023 adalah seperti berikut:

komen