Artikel

Legenda Kedah BB7 & Pemegang Ijazah Diperkenalkan Sebagai Pemain Baharu Sabah

Pasukan yang berpangkalan di Timur Malaysia iaitu Kelab Bola Sepak Sabah (Sabah) mengumumkan penyertaan dua pemain baharunya untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Menerusi makluman di pelbagai platform sosial medianya pada hari ini, Sabah yang dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee mengumumkan secara rasmi kemasukan pemain legenda dan kapten Kedah Darul Aman (Kedah), Baddrol Bakhtiar atau dikenali sebagai BB7.

Walaupun telah menginjak usia 33 tahun, kemampuan Baddrol masih menarik minat Sabah memandangkan pemain ini bukan sahaja masih bertenaga sebagai pemain tengah di atas padang bahkan turut meletakkan dirinya sebagai penjaring tempatan terbanyak untuk saingan Liga Super musim ini.

Tambahan pula, Baddrol yang beraksi selama 16 tahun bersama Kedah menampilkan prestasi memberangsangkan pada musim ini turut menarik minat ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menggunakan khidmatnya pada perlawanan antarabangsa lalu dan kempen Piala AFF kelak.

Sementara itu, Sabah turut mengumumkan menandatangani seorang lagi pemain yang merupakan pemegang ijazah sarjana muda sains sukan iaitu Mohd Afiq Yunus atau dikenali sebagai Apeng. 

Berusia 27 tahun dan merupakan anak jati kelahiran negeri Sabah, Apeng juga merupakan seorang pemain tengah. Sebelum ini, karier Apeng banyak bertumpu bersama pasukan amatur seperti Tankur FC dan Kinabalu Jaguar FC.

Featured Image: Kedah Darul Aman FC & Kinabalu Jaguar FC

komen