Artikel

Jelajah Akhir BWF: Pearly-Thinaah Kejutkan Beregu Thailand Pilihan No.1 Kejohanan

Pasangan beregu wanita negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan bermula dengan langkah kiri apabila tewas pada perlawanan pertama peringkat Kumpulan A di kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF, semalam.

Bagaimanapun, pasangan yang menghuni ranking ke-17 dunia ini mencipta kejutan menewaskan pasangan Thailand yang diletakkan sebagai pilihan pertama untuk menjuarai kejohanan ini iaitu Jongkolphan Kititharakul dan Rawinda Prajongjai pada perlawanan kedua, hari ini.

Lebih manis, kemenangan ini diraih oleh Pearly-Thinaah secara ‘straight set’ dengan skor 23-21 dan 21-14 dalam tempoh masa yang menghampiri satu jam.

Kemenangan ini turut menjadikan beregu wanita utama negara ini merekodkan dua kemenangan berturut-turut ke atas beregu Thailand yang menghuni tangga ke-9 dunia pada ketika ini. Kemenangan pertama diraih oleh Pearly-Thinaah ke atas pasangan ini adalah ketika berentap di kejohanan All England 2021, bulan Mac lalu.

Kemenangan yang diraih pada hari ini sedikit sebanyak mencerahkan peluang Pearly-Thinaah untuk melangkah ke peringkat separuh akhir. Namun, untuk mara, mereka perlu menewaskan beregu Indonesia merangkap pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Greysia Polii dan Apriyani Rahayu, pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Dijangka perlawanan melibatkan Pearly-Thinaah menentang Greysia-Apriyani ini akan berlangsung bermula jam 11.40 pagi, esok.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pasangan ini telah bertemu sebanyak empat kali, dan kesemuanya dimenangi 100% oleh pasangan Indonesia yang menghuni ranking ke-6 dunia ini. Mampukah mereka melakukan kejutan ke atas Greysia-Apriyani? Sama-sama kita nantikan.

komen