Artikel

Jelajah Akhir BWF: Peng Soon-Liu Ying Tempah Tiket Awal Separuh Akhir

Pasangan beregu campuran bebas (independent) negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying berjaya menempah tiket awal ke peringkat separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF.

Kejayaan itu diraih selepas mereka berjaya meraih kemenangan kedua peringkat Kumpulan A dengan menumpaskan beregu campuran Denmark, Mathias Christiansen dan Alexandra Bøje, pada hari ini.

Peng Soon-Liu Ying meraih kemenangan tersebut dengan keputusan 21-17, 19-21 dan 21-16 dalam satu perlawanan panjang yang memakan masa hampir 1 jam dan 30 minit.

Semalam, Peng Soon-Liu Ying meraih kemenangan pertama dengan menumpaskan beregu senegara, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing secara ‘straight set’ dengan pungutan mata 21-14 dan 21-13.

Untuk perlawanan terakhir peringkat kumpulan, pasangan yang pernah meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 ini akan berhadapan dengan beregu campuran Jepun yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pasangan ini pernah bertemu sebanyak lapan kali dengan Peng Soon-Liu Ying dan Yuta-Arisa meraih kemenangan empat kali masing-masing.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia 

komen