Written by 10:00 am Badminton, Malaysia

Cabaran Wales: Kecederaan Paksa Tze Yong Tarik Diri Pusingan 32

Kecederaan telah memaksa pemain muda perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong untuk menarik diri pada Pusingan 32 dalam kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Wales 2021.

Pemain berusia 21 tahun itu membuat keputusan untuk menarik diri ketika kedudukan 1-1 pada set penentuan semasa menentang pemain India, Subhankar Dey yang merupakan pilihan ke-6 untuk menjuarai kejohanan ini.

Sebelum itu, Tze Yong meraih kemenangan pada set pertama dengan skor 21-19. Pada set kedua, Subhankar bangkit memberikan tentangan yang sengit sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 25-23 ke atas Tze Yong.

Penarikan diri ini pastinya mengecewakan sebahagian peminat badminton tanah air yang mahu melihatnya mara lebih jauh dalam kejohanan ini lebih-lebih lagi Tze Yong masih segar dengan menjuarai kejohanan Terbuka Scotland, minggu lalu.

Sementara itu, Subhankar yang meneruskan kemaraan ke Pusingan 16 bakal bertemu seorang lagi pemain muda negara yang juga berusia 21 tahun iaitu Aidil Sholeh Ali Sadikin.

Aidil yang menghuni ranking ke-110 dunia mengesahkan tempat ke Pusingan 16 selepas menewaskan pemain Itali, Fabio Caponio secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-15 dan 21-18.

(Visited 3,848 times, 1 visits today)
Close