Artikel

Jelajah Akhir BWF: Pemain Muda Thailand Sekat Kemaraan Zii Jia Ke Final

Persembahan yang serba-serbi tidak menjadi buat pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia di pentas separuh akhir Jelajah Dunia Akhir BWF sekaligus menghanguskan peluangnya mara ke pentas final. 

Kemaraan Zii Jia yang berada di kedudukan kelapan dunia disekat oleh pemain Thailand yang berusia 20 tahun, Kunlavut Vitidsarn. Untuk makluman semua, pemain ini ditewaskan Zii Jia pada perlawanan pertama di peringkat kumpulan, beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah di perlawanan separuh akhir, hari ini, Kunlavut menampilkan permainan yang penuh meyakinkan sekaligus berjaya menumpaskan Zii Jia secara ‘straight set’ dengan skor 21-18 dan 21-18.

Sebagai rekod, Kunlavut yang menghuni ranking ke-23 dunia ini meraih kemenangan tersebut dalam tempoh masa 44 minit.

Sebagai tambahan, kekalahan Zii Jia ini menyaksikan tiada seorang pun wakil Malaysia mara ke pentas final kejohanan Jelajah Dunia Akhir selepas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut terkandas di peringkat yang sama.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

komen