Written by 3:59 pm Badminton, Malaysia

Beregu Campuran, Peng Soon-Liu Ying Tarik Diri Daripada Kejohanan Dunia BWF

Walaupun layak, beregu campuran bebas (independent) negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying mengumumkan menarik diri daripada Kejohanan Dunia BWF 2021 yang akan bermula pada Ahad nanti.

Perkembangan mengejutkan itu disampaikan sendiri oleh Liu Ying menerusi hantaran di pelbagai platform media sosialnya pada hari ini.

Difahamkan keputusan tersebut diambil oleh beregu campuran yang menghuni ranking kesembilan dunia ini atas faktor keadaan fizikal Liu Ying yang tidak dapat pulih sepenuhnya sebelum bermulanya kejohanan yang akan dilangsungkan di Huelva, Sepanyol tersebut.

Keadaan ini berpunca daripada kepenatan ekoran jadual padat kejohanan yang berlangsung dalam tempoh masa yang cukup singkat. Selain itu, faktor usia yang semakin meningkat turut menyumbang kepada keterbatasan ini.

Perkara ini mengekang mereka untuk berada di prestasi yang terbaik bagi memberikan cabaran di pentas Kejohanan Dunia BWF kelak.

Pada masa yang sama, situasi semasa epidemik Covid-19 turut mengundang kerisauan pasangan yang berusia 33 dan 32 tahun masing-masing ini. Selepas membuat segala pertimbangan, mereka mengumumkan untuk menarik diri daripada kejohanan ini.

Dengan pengumuman ini, Jelajah Dunia Akhir BWF di Bali, Indonesia pada minggu lalu menjadi kejohanan terakhir yang disertai oleh gandingan Peng Soon-Liu Ying pada tahun ini.

Di kejohanan ini, Peng Soon-Liu Ying berjaya mara ke peringkat separuh akhir sebelum disingkirkan oleh beregu campuran Thailand, Dechapol Puavaranukroh dan Sapsiree Taerattanachai.

Featured Image: Badminton Photo

(Visited 593 times, 1 visits today)
Close