Written by 8:04 pm Bola Sepak, Malaysia

BOD Terengganu FC Kekalkan Nafuzi Zain Sebagai Ketua Jurulatih

Ahli Lembaga Pengarah (BOD) Terengganu FC membuat keputusan untuk mengekalkan Nafuzi Zain selaku ketua jurulatih pasukan tersebut bagi mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkembangan itu disahkan menerusi satu makluman yang disiarkan di laman sesawang rasmi kelab, pada hari ini. 

“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira banyak aspek termasuk pelan persediaan musim 2022 telah dipersiapkan termasuk senarai pemain yang akan bersama dan akan dilepaskan kelab ini bagi saingan musim hadapan.” tulis kenyataan rasmi kelab.

“Walaubagaimanapun, keputusan ini bergantung kepada bakal pengendali Terengganu FC itu samada beliau menerima atau menolak tawaran yang diberikan. 

“Pihak pentadbiran ini berbesar hati dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pengendali Terengganu FC itu disamping mengharapkan prestasi pasukan Terengganu FC akan terus meningkat bertepatan dengan aras pencapaian yang telah ditetapkan bagi musim 2022 dan persiapan rapi pasukan-pasukan Liga Super yang lain.” tambah kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, status jurulatih yang membimbing skuad Hitam Putih ini ke pentas separuh akhir Piala Malaysia 2021 menjadi tanda tanya apabila kontraknya yang tamat pada 30 November lalu tidak dilanjutkan oleh pihak pengurusan.

Selain meletakkan Terengganu FC sebagai empat pasukan terbaik di pentas Piala Malaysia, Nafuzi turut menjadikan pasukan ini sebagai ‘Top 4’ dalam saingan Liga Super 2021.

Sebagai rekod, Nafuzi mula dilantik sebagai ketua jurulatih interim Terengganu FC pada pertengahan tahun 2019 sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih secara rasminya pada penghujung tahun yang sama.

Featured Image: Terengganu FC

(Visited 304 times, 1 visits today)
Close