Written by 3:56 pm Bola Sepak, Malaysia

Damien Lim Tolak Tawaran Sri Pahang, PJ City Kerana Ong Kim Swee

Penjaga gol yang membantu Negeri Sembilan muncul juara Liga Premier 2021, Damien Lim menerima sekurang-kurangnya tiga tawaran namun Sabah menjadi destinasi pilihannya pada musim hadapan.

Dimaklumkan, penjaga gol berusia 24 tahun ini menerima tawaran daripada Sri Pahang dan Petaling Jaya City (PJ City). Akan tetapi, dua pasukan ini terlepas peluang untuk mendapatkan khidmat Damien kerana kredibiliti yang dimiliki oleh ketua jurulatih Sabah yang baharu, Datuk Ong Kim Swee.

Selain itu, Damien turut tertarik dengan ‘projek baharu’ yang dilakukan oleh Kim Swee di Sabah dengan mendatangkan beberapa pemain baharu yang berstatus bintang dan berpengalaman. 

Dari kaca mata Damien, Sabah di bawah teraju Kim Swee pada musim hadapan amat serius untuk memberikan cabaran dalam saingan Liga Malaysia 2022.

Datuk Ong Kim Swee – Foto: MFL

“Saya ada dapat tawaran dari PJ City dan Pahang juga, tetapi disebabkan saya pun pernah bersama Kim Swee dalam Skuad Bawah 23 Tahun (B-23) sebelum ini dan melihat kepada misi tersendiri beliau, saya buat keputusan untuk berhijrah ke sana.

“Saya pun tengok Sabah cukup serius mempersiapkan pasukan pada musim depan dan bagaimana Kim Swee bawa masuk pemain berstatus bintang seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Dominic Tan pastinya akan memberi sesuatu yang berbeza.

“Dan diharapkan kami semua pemain baharu dan pemain sedia ada dapat bersama-sama menjalinkan hubungan yang lebih baik untuk sama-sama membawa pasukan ke tahap lebih baik,” katanya.

Pada masa sama, Damien berasa teruja seandainya penjaga gol senior dan berpengalaman, Khairul Fahmi Che Mat turut berhijrah ke Sabah. Baginya, kedatangan penjaga gol yang terkenal dengan panggilan Apek itu dapat menghidupkan persaingan sihat di posisi penjaga gol utama Sabah.

Khairul Fahmi Che Mat – MFL

“Saya sedar kalau Apek (Khairul Fahmi) jadi datang ke Sabah, peluang untuknya beraksi semua perlawanan itu lebih cerah, tetapi bagi saya kalau dia ada, mestilah bagus untuk pasukan dan diri saya juga.

“Secara peribadi, pengalamannya sebagai pemain senior boleh memberi impak kepada pasukan dan saya juga boleh belajar banyak benda daripadanya selain kami akan bersaing dengan lebih sihat antara satu sama lain.

“Tetapi, sama ada Apek akan datang atau tidak, untuk saya sendiri misi utama adalah untuk cuba rebut sebaik mungkin menjadi penjaga gol utama dan semuanya terserah kepada jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) untuk membuat keputusan terbaik,” jelasnya.

Untuk makluman semua, nama penjaga gol Melaka United ini antara salah seorang pemain yang kuat dikaitkan untuk membarisi skuad kendalian Kim Swee pada musim hadapan.

Featured Image: Negeri Sembilan Football Club

(Visited 4,624 times, 2 visits today)
Close