Artikel

Angkatan 142kg Berikan Aniq Kasdan Pingat Perak di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021

Sebutir pingat perak berjaya dibawa pulang oleh atlet angkat berat muda negara, Mohamad Aniq Kasdan di Kejohanan Angkat Berat Dunia 2021. Malahan, Aniq turut meraih pingat emas dalam Kelayakan Sukan Komanwel 2022 yang diadakan bersekali dengan kejohanan dunia yang dilangsungkan Tashkent, Uzbekistan ini.

Pingat perak diraih oleh atlet berusia 19 tahun kelahiran Johor ini menerusi kategori 55 kilogram lelaki dalam acara ‘clean & jerk’ setelah berjaya melakukan angkatan terbaiknya seberat 142kg pada percubaan ketiga.

Aniq (kiri) bersama jurulatihnya, Naharudin Mahayudin – Foto: IG Mohamad Aniq

Sementara itu, bagi acara ‘snatch’ dalam kategori yang sama, Aniq melakukan angkatan terbaiknya dengan berat 107kg. Secara keseluruhannya, Aniq merekodkan angkatan seberat 249kg sekaligus meletakkannya di tangga kelima dalam carta kejohanan yang dianjurkan oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) ini.

Bagaimanapun, kedudukan kelima itu sudah memadai buat Aniq untuk membawa pulang pingat emas dalam Kelayakan Sukan Komanwel 2022 serta meletakkan Malaysia di ranking yang pertama untuk layak ke temasya yang akan diadakan di Birmingham, tahun hadapan.

Hal ini kerana, empat peserta yang berada di atasnya bukan daripada kalangan negara-negara komanwel iaitu Arli Chontey (Kazakhstan), Thada Somboonuan (Thailand), Hriskov Russell Angel (Bulgaria) dan Josue Brachi Garcia (Sepanyol).

Menurut perkongsian oleh Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat, beliau berkata ini merupakan kali pertama atlet Malaysia berjaya memenangi pingat dalam sejarah penyertaan Kejohanan Angkat Berat Dunia.

komen