Written by 4:37 pm Bola Sepak, Malaysia

Gandingan Penyerang Liberia + Ghana Jadi Taruhan Utama Terengganu Musim 2022?

Adakah gandingan penyerang Liberia dan Ghana iaitu Kpah Sherman dan Jordan Mintah bakal menjadi taruhan utama buat pasukan berpangkalan di pantai timur semenanjung tanah air, Terengganu FC dalam saingan Liga Malaysia 2022?

Pasukan ‘semi-finalist’ Piala Malaysia 2021 secara rasminya mengumumkan menandatangani Kpah yang merupakan bekas penyerang Kedah Darul Aman FC (Kedah) menerusi pelbagai platform media sosial milik kelab tersebut, pada hari ini.

Kemampuan Kpah sebagai penyerang terutamanya dalam kancah Liga Malaysia sememangnya sudah terbukti. Kpah yang juga merupakan penyerang skuad kebangsaan Liberia mula beraksi di negara ini bersama pasukan MISC-MIFA atau kini dikenali sebagai PJ City pada pertengahan tahun 2017.

Kpah Sherman – Foto: Kedah Darul Aman

Sepanjang lima musim beraksi di Malaysia, Kpah telah merekodkan sejumlah 62 gol dalam pelbagai kejohanan seperti Liga Premier, Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Super ABK19 turut menjadi miliknya apabila merekodkan 14 gol pada musim 2019 bersama PKNS FC. 

Sementara itu, skuad bimbingan Nafuzi Zain ini turut mengumumkan lanjutan kontrak penyerang pasukan simpanannya, Terengganu II, Mintah yang berusia 26 tahun selama dua musim sekaligus mengekalkan pemain ini sehingga tahun 2023, semalam.

Jordan Mintah – Foto: Terengganu FC

Untuk makluman semua, Mintah telah bersama pasukan ini sejak tahun 2020 namun kelibatnya mula mencuri tumpuan peminat Terengganu apabila menampilkan persembahan meyakinkan ketika menggantikan penyerang utama, David Da Silva yang mengalami kecederaan ketika awal saingan Liga Super 2021.

Kembalinya Mintah ke Terengganu II dalam kancah Liga Premier, ketajamannya di hadapan gawang semakin menyerlah dengan meledak sebanyak 16 gol sekaligus membolehkannya merangkul Anugerah Penjaring Terbanyak Liga Premier ABK21. Apabila diberikan peluang untuk menjadi penggempur utama di pentas Piala Malaysia baru-baru ini, Mintah turut berhasil menjaringkan sebanyak 5 gol.

Ianya sesuatu yang menarik sekiranya Terengganu mempertaruhkan dua gandingan ini di barisan serangannya pada musim hadapan. Berdasarkan kepada pemerhatian sebelum ini, ketua jurulatih, Nafuzi belum pernah menggunakan gandingan dua penyerang dalam kesebelasan utamanya. Dia lebih gemar menggunakan ‘lone striker’ sebagai contoh Dominique da Sylva dan David da Silva pada musim 2020 dan 2021 masing-masing.

Sekiranya digandingkan, mampukah dua penyerang benua Afrika ini merobek gawang pasukan-pasukan lawan untuk membantu Terengganu beraksi dengan lebih cemerlang dalam saingan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia pada musim hadapan? Sama-sama kita nantikan.

Featured Image: Terengganu Football Club

(Visited 2,081 times, 1 visits today)
Close