Artikel

Jang Dari Korea Jadi Pengganti Renan Alves di Barisan Pertahanan Kedah

Pertahanan kelahiran Republik Korea, Jang Suk-won menjadi pemain import terbaru yang ditandatangani oleh pasukan naib juara Liga Super, Kedah Darul Aman (Kedah) untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022.

Pemain berusia 32 tahun yang beraksi bersama Melaka United selama tiga musim lalu dibawa masuk oleh Kedah untuk menjadi tonggak di barisan pertahanan menggantikan Renan Alves yang diumumkan tidak dilanjutkan kontrak, awal Disember lalu.

Pengumuman penyertaan pemain yang turut mempunyai pengalaman beraksi bersama skuad kebangsaan bawah umur Korea ini dilakukan oleh Skuad Hijau Kuning menerusi pelbagai platform media sosialnya, semalam.

“Pengalaman Jang beraksi dalam liga tempatan dijangka memberi kelebihan untuk menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan ketika pra-musim dan posisi tengah pertahanan Kedah kini dibawah tanggungjawabnya bergandingan dengan beberapa muka baru lagi.” tulis kenyataan rasmi kelab.

Sebelum menyertai Melaka United pada tahun 2019, Jang beraksi dalam saingan Liga Jepun dan liga negaranya, Liga Korea bersama Fagiano Okayam dan Seongnam FC masing-masing.

Untuk makluman semua, selain Renan, dua lagi pemain import iaitu Anumanthan dan Rabih Ataya turut dilepaskan oleh Kedah. 

Pemain jersi No.36 Renan Alves ketika menentang JDT

Bagaimanapun, menerusi satu laporan media pada minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Khamal Idris Ali memaklumkan pasukan tersebut terpaksa mencari lima pemain import berbanding tiga pemain sahaja untuk memperkuatkan kelab berpangkalan di utara semenanjung tanah air ini.

Ianya berikutan salah seorang daripada dua pemain import musim lalu, Kpah Sherman yang ingin dikekalkan oleh Kedah telah angkat kaki menyertai Terengganu FC.

Manakala seorang lagi pemain iaitu Tchetche Kipre masih belum membuat keputusan samada mahu kekal atau tidak bersama Kedah. Ini kerana penyerang kelahiran Ivory Coast berusia 34 tahun itu menerima pelbagai tawaran oleh pasukan lain dalam saingan Liga Malaysia.

komen