Written by 7:04 pm Bola Sepak, Malaysia

Pertahanan JDT II, Adib Zainuddin Jawapan Kepada Kekosongan Ditinggalkan Muhammad

Penghijrahan bek tengah tempatan, Muhammad Mohd Faudzi ke pasukan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City (KL City) sedikit sebanyak telah meresahkan sebahagian penyokong Terengganu FC.

Walaupun bukan berstatus tonggak utama di barisan pertahanan namun kehadiran Muhammad atau dikenali sebagai Amad memberikan variasi kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk membarisi barisan pertahanan skuad berpangkalan di pantai timur tersebut.

Muhammad Mohd Faudzi (kiri).

Bagaimanapun, para penyokong dan peminat skuad Hitam Putih tidak perlu lagi khuatir akan kehilangan pemain tersebut kerana Terengganu telah mengumumkan kemasukan pemain baharu bagi menggantikan kekosongan ditinggalkan oleh Muhammad.

Menerusi makluman terbaru oleh kelab pada hari ini, pertahanan Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Adib Zainuddin, 26 tahun, disahkan menjadi pemain yang akan mengisi kekosongan tersebut.

Difahamkan, pemain kelahiran Mersing, Johor yang menjadi tonggak kepada kejayaan JDT II menamatkan saingan Liga Premier 2021 di tangga keempat ini mengikat kontrak selama dua tahun bersama Terengganu. 

Kedatangan Adib merangkap bekas kapten skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) ini merupakan kemasukan pemain tempatan baharu yang pertama ditandatangani oleh Terengganu untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2022 kelak.

(Visited 205 times, 1 visits today)
Close