Artikel

Kejohanan Dunia BWF: Gandingan Semula V Shem-Wee Kiong Lepasi Pusingan 32

Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang kembali bergandingan semula buat kali terakhir di pentas Kejohanan Dunia BWF berhasil merekodkan kemenangan pada Pusingan 32.

Kemenangan tersebut diraih dengan menumpaskan beregu lelaki Jepun, Hiroki Okamura dan Masayuki Onodera dengan keputusan 21-15, 22-24 dan 21-16 dalam tempoh masa melebihi satu jam, petang tadi.

Untuk makluman semua, V Shem dan Wee Kiong yang menghuni ranking ke-14 dunia mengumumkan perpisahan setelah bergandingan selama 7 tahun, pada bulan Ogos lalu.

Semenjak itu, kedua-dua pemain ini membawa haluan masing-masing dengan V Shem membentuk gandingan bersama Low Juan Shen. Manakala Wee Kiong bergandingan bersama Tan Kian Meng.

Bagaimanapun, V Shem dan Wee Kiong membuat keputusan untuk kembali beraksi bersama di pentas kejohanan dunia memandangkan mereka layak berdasarkan ranking semasa dan ini bakal menjadi kejohanan terakhir buat pasangan yang pernah merangkul pingat perak Sukan Olimpik ini.

Untuk perlawanan seterusnya di Pusingan 16, V Shem-Wee Kiong akan berhadapan dengan beregu Jerman, Bjarne Geiss dan Jan Colin Volker yang menghuni ranking ke-68 dunia.

komen