Written by 2:22 am Antarabangsa, Badminton

Kejohanan Dunia BWF: Pemain No.4 Dunia, Chou Tien Chen Mangsa Terbaru Tersingkir Awal

Satu lagi kejutan direkodkan apabila pemain perseorangan lelaki nombor 4 dunia, Chou Tien Chen menjadi mangsa terbaru yang tersingkir pada peringkat awal – Pusingan 32 di Kejohanan Dunia BWF 2021.

Sebelum ini, kejohanan ini mengejutkan ramai peminat badminton seluruh dunia apabila pemain No.1 dan No.9 dunia, Viktor Axelsen dan Ng Ka Long Angus tersingkir seawal Pusingan 64 ekoran tumpas kepada lawan masing-masing yang berada di ranking jauh lebih rendah.

Sementara itu, Tien Chen menyertai senarai ‘Top Seeded’ yang tersingkir tersebut apabila tumpas kepada pemain China, ranking ke-27 dunia, Lu Guang Zu dengan keputusan 21-14, 15-21 dan 15-21 dalam perlawanan yang memakan masa hampir satu jam dan setengah.

Bertambah menarik, ini merupakan kekalahan pertama yang direkodkan oleh Tien Chen apabila bertemu Guang Zu. Tiga pertemuan yang lalu antara kedua-dua pemain ini menyaksikan Tien Chen menang kesemuanya.

Dengan tersingkirnya Tien Chen, Ng Ka Long Angus, Viktor Axelsen serta penarikan diri Kento Momota dan pemain-pemain Indonesia, ini menjadikan hanya Anders Antonsen, Lee Zii Jia dan Rasmus Gemke sahaja kalangan ‘Top 10’ dunia yang masih berjuang untuk merebut gelaran juara edisi ini.

Milik siapakah mahkota kejuaraan kali ini? Atau adakah ia akan dimenangi oleh pemain bukan pilihan? Sama-sama kita nantikan.

(Visited 436 times, 1 visits today)
Close