Artikel

Kejohanan Dunia BWF: Sze Fei-Izzuddin Kembali Bertemu Pemenang Olimpik Di Pusingan 16

Pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin akan membuat perhitungan sekali lagi dengan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020, Lee Yang dan Wang Chi-lin pada Pusingan 16 di Kejohanan Dunia BWF 2021.

Kedua-dua pasangan ini bertemu kembali selepas berjaya menumpaskan lawan masing-masing pada Pusingan 32, awal pagi tadi, waktu Malaysia.

Sze Fei-Izzuddin mara selepas menumpaskan beregu Scotland iaitu Alexander Dunn dan Adam Hall yang menghuni ranking ke-36 dunia dengan keputusan 21-14, 19-21 dan 21-16 dalam tempoh 55 minit.

Sementara itu, Lee Yang dan Wang Chi-lin yang merupakan pasangan beregu nombor 3 dunia menempah tiket ke Pusingan 16 dengan menundukkan beregu Belanda, Ruben Jille dan Ties Van der Lecq.

Lee Yang dan Wang Chi-Lin

Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin dan Lee-Wang baru sahaja bertarung sesama sendiri buat pertama kali pada peringkat Pusingan 16 di kejohanan Terbuka Indonesia pada November lalu.

Pertemuan tersebut dimenangi dengan cemerlang oleh Sze Fei-Nur Izzuddin secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-15 dan 23-21. Mampukah Sze Fei-izzuddin mengulangi rekod cemerlang ke atas beregu Taiwan ini sekali lagi?

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

komen