Written by 4:53 pm Bola Sepak, Malaysia

Selepas 6 Musim Bersama Sabah, Azzizan Nordin Sertai Penang

Selepas enam musim beraksi bersama pasukan negeri kelahirannya, pemain tengah, Azzizan Nordin, membuat keputusan untuk berhijrah menyertai sebuah pasukan berpangkalan di semenanjung Malaysia.

Ternyata pemain kelahiran Bongawan ini tidak tersenarai dalam perancangan ketua jurulatih Sabah yang baharu, Datuk Ong Kim Swee pada musim hadapan dan ianya membuatkan pemain berusia 27 tahun ini berhijrah ke pasukan Penang.

Perkembangan tersebut disahkan menerusi pengumuman di platform media sosial Penang, pada hari ini. Bagaimanapun, tiada sebarang makluman mengenai tempoh kontrak Azzizan bersama Penang didedahkan kepada umum.

Azzizan yang seringkali beraksi di posisi ‘defensive midfielder’ amat diingati khususnya oleh para penyokong Sang Badak sebagai salah satu tonggak yang membantu Sabah meraih kejuaraan Liga Premier 2019 sekaligus menempah tiket promosi ke saingan Liga Super 2020.

Azzizan ketika bersama Sabah pada tahun 2018.

Tidak dilupakan, prestasi Azzizan turut memuncak pada tahun 2018 di mana dia turut menyumbang kepada kempen cemerlang Sabah dalam saingan Piala Malaysia sehingga berjaya mara ke peringkat separuh akhir.

Ketika itu jugalah, Azzizan menarik perhatian ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe sehinggakan berjaya melakukan debut bersama skuad Harimau Malaya dalam satu perlawanan antarabangsa menentang Kemboja.

(Visited 176 times, 1 visits today)
Close