Artikel

Dechi a.k.a ‘Kante’ Jadi Pemain Baharu Kedah Hadapi Liga Malaysia & Piala AFC 2022

Pasukan berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Kedah Darul Aman (Kedah) mengumumkan pemain import kedua untuk memperkuatkan pasukannya bagi mengharungi saingan Liga Malaysia dan Piala AFC 2022.

Pemain import baharu yang diikat oleh Kedah ini merupakan kelahiran Ivory Coast, berusia 30 tahun dan mempunyai pengalaman beraksi dalam kancah bola tempatan selama 5 musim ini terkenal dengan julukan ‘Kante’ bersama pasukan lamanya, Terengganu. 

Dechi ketika beraksi bersama Terengganu musim 2021.

Menerusi makluman di pelbagai platform media sosial, skuad Hijau Kuning mengesahkan pemain tengah berketinggian 1.64 meter (m), Dechi Marcel N’Guessan menjadi pemain baharu mereka, bermula hari ini.

Pemain yang beraksi di Malaysia bersama UiTM FC sejak tahun 2017 ini cukup dikenali kalangan peminat bola sepak tempatan sebagai seorang yang mempunyai kerajinan dan ‘work rate’ yang tinggi di atas padang.

Kehadiran Dechi yang seringkali digunakan sebagai ‘box-to-box midfielder’ pastinya sebagai pengganti kepada pemain tengah Singapura, Anumanthan Kumar yang tidak dilanjutkan kontrak oleh Kedah setelah tamatnya saingan Liga Malaysia 2021.

Baca: Jang Dari Korea Jadi Pengganti Renan Alves di Barisan Pertahanan Kedah

Sebagai rekod, tiga hari lalu, Kedah mengumumkan kedatangan pemain import pertamanya iaitu pertahanan, Jang Suk-won yang merupakan bekas pemain Melaka United bagi menggantikan Renan Alves.

komen