Written by 12:55 pm Bola Sepak, Malaysia

Hafizul Hakim Pilih Untuk Kekal Di Pentas Liga Super Bersama Penang

Kelibat penjaga gol yang pernah mewakili skuad kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, 28 tahun, akan kekal dilihat di pentas Liga Super 2022.

Hal ini kerana Hafizul membuat keputusan untuk meninggalkan Perak FC yang disingkirkan ke Liga Premier dan berhijrah ke pasukan yang menamatkan saingan Liga Super 2021 di tangga ketiga, Penang FC.

Perkara tersebut disahkan secara rasmi menerusi pelbagai plaftorm media sosial milik skuad Harimau Kumbang, pada hari ini. Bagaimanapun, tempoh kontrak yang diikat antara Hafizul dan Penang itu tidak didedahkan kepada umum.

Dijangka Hafizul bakal menjadi taruhan utama buat Penang dalam mengharungi saingan Liga Malaysia musim hadapan selepas kelab berpangkalan di Pulau Mutiara ini melepaskan dua penjaga golnya, Samuel Somerville dan Bryan See.

Untuk makluman semua, Hafizul pernah menjadi tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan ketika menampilkan prestasi cemerlangnya membantu Perak muncul juara Piala Malaysia dan naib juara Liga Super 2018.

Dek kecemerlangannya musim itu, namanya turut dikaitkan dengan perpindahan ke kelab yang beraksi dalam saingan Liga Thailand iaitu Muangthong United.

Selain daripada menjadi tonggak buat Perak, Hafizul merupakan sebahagian daripada skuad yang membantu Malaysia menamatkan kempen Piala AFF Suzuki 2018 selaku naib juara.

Featured Image: Penang Football Club

(Visited 931 times, 1 visits today)
Close