Artikel

Kejohanan Dunia BWF: Gandingan ‘Sementara’ V Shem-Wee Kiong Meneruskan Kemaraan Ke Suku Akhir

Pasangan beregu lelaki yang kembali bergandingan buat kali terakhir, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong berhasil meraih tiket ke peringkat suku akhir Kejohanan Dunia BWF 2021.

Beregu bebas (independent) yang pernah meraih pingat perak di Sukan Olimpik Rio 2016 ini berjaya meneruskan kemaraan selepas menyingkirkan beregu Jerman yang menghuni ranking ke-68 dunia, Bjarne Geiss dan Jan Colin Völker pada Pusingan 16, semalam.

Walaupun perlawanan ini diheret ke set penentuan, kemenangan tetap berpihak kepada V Shem-Wee Kiong dengan pungutan mata 21-14, 14-21 dan 21-17 dalam tempoh pertarungan yang memakan masa hampir satu jam.

Sementara itu, di peringkat suku akhir, pasangan yang berusia 32 tahun masing-masing ini akan menghadapi beregu China yang menduduki ranking ke-24 dunia, He Ji Ting dan Tan Qiang.

Untuk makluman semua, V Shem-Wee Kiong pernah bertemu beregu ini sebanyak satu kali pada tahun 2018 lalu dan ianya berakhir dengan kemenangan secara ‘straight set’ buat beregu Malaysia ini.

Featured Image: Badminton Photo / Badminton Association of Malaysia

komen